insyaAllah. bersama kita berkongsi ilmu ;)

Sunday, November 29, 2009

Singkapan aidiladha

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, walillahilham~

Sirah menyingkap kepatuhan Ismail AS menerima perintah Allah, rela sekujur jasadnya dikorbankan sebagai lambang pengabdian kepada Allah swt. Ismail AS tidak gentar pabila ayahanda mengkhabarkan mimpinya sebaliknya komited menjunjung titah Allah SWT menyanggupi dirinya disembelih. Berat dugaan melanda hati, segalanya bermula apabila Allah mengarahkan agar Siti Hajar ditinggalkan di tanah kontang jauh dari penempatan ramai. Dan apabila zuriat menginjak usia remaja, tibalah perintah agar cahaya matanya dikorbankan. Dahsyatnya dugaan Allah menimpa Ibrahim.

Namun, di sebalik segala ujian itu, Ibrahim tetap melafazkan syukurnya seperti mana yang termaktub dalam Surah Ibrahim,38 ; Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tuaku Ishaq dan Ismail. Benar, Tuhanku benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa hambaNya. Bagaimana seandainya kita berada di tempat baginda? Cukup kuatkah serangkai hati ini menahan dugaan maha hebat itu? Wajarlah Ibrahim dimasukkan dalam golongan ulul’azmi dan didoakan oleh lidah-lidah umat akhir zaman, hari demi hari dalam bacaan tahiyyat kita.

Pensyariatan korban dijelaskan dalam al-Quran sebagaimana firman Allah swt, suratul al-Kauthar;2, yang mafhumnya ; “Maka lakukanlah shalat kerana TuhanMu dan berkorbanlah (sebagai ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah)”. Di sebalik penyembelihan binatang al-an’am itu, setiap Muslim yang berkorban akan dikurniakan satu kebaikan bagi setiap bulu binatang korbannya, hadith riwayat at-Tirmidzi. Selain itu, korban juga dijadikan sebagai penebus dosa. Rasullullah pernah menyuruh putri baginda Fatimah, agar menyaksikan sembelihan binatang korban. Sesungguhnya dengan titisan darah binatang tersebut, dosa-dosa kamu akan diampunkan, riwayat al-Bazzar dan ibnu Hibban.

Rungkaian sirah juga tidak hanya menumpukan kepada Ibrahim AS yang sanggup mengorbankan puteranya, akan tetapi banyak lagi tokoh-tokoh disajikan dalam kitabullah menceritakan perihal kerelaan mereka berkorban demi mengangkat keizzahan Islam di muka bumi Allah ini. Khadijah mengorbankan hartanya, Mashitah mengorbankan jiwanya, dan banyak lagi nama-nama besar yang mengorbankan hidup mereka demi Islam. Sehubungan dengan itu, di mana kita sekarang? Tidak teringinkan kita untuk turut menempa nama sebaris dengan mereka, yang mengorbankan segalanya demi Islam?

Marilah kita sama-sama menginsafi di mana kita pada pandangan Allah sebenarnya? Sejauhmana kita berkorban demiNya?Setakat mana pengorbanan kita bersih dari sebarang karat mazmumah sekaligus diterima ke hadratNya?Dan seterusnya bermujahadahlah untuk sama-sama kita perbaiki diri agar hidayah Allah sentiasa mendiami hati-hati kita, redha Allah selalu menaungi derap langkah perjuangan kita.

Salam Aidiladha~

Sunday, November 22, 2009

Siapa kamu sebenarnya?


Dengan asma’ Allah yang ar-Rahman dan ar-Rahim~

Mohd Asri Zainal Abidin. Kontroversi berkaitan dirinya tidak pernah padam. Gaya penyampaian yang dikatakan cakap lepas, lirik lagu ciptaannya, kontrak sebagai mufti yang tidak disambung, penolakan tawaran sebagai Pengerusi Yadim, penyerahan memorandum PGSM bagi membantah lantikan Asri kepada YDP Agong, dan yang terbaru berita penangkapan oleh JAIS lantaran tidak memiliki tauliah untuk memberi ceramah. Siapa kamu sebenarnya? Asri Zainal Abidin bukanlah nama besar dalam dunia politik, tetapi kepakaran beliau dalam agama, kefasihan beliau dalam ilmu Hadith melayakkan beliau pernah diangkat sebagai mufti di sebuah negeri kecil di utara Malaysia, Perlis.

Asri Zainal Abidin dikaitkan dengan fahaman Wahabi, namun sesungguh hati beliau menafikan, agak berat juga tuduhan ke atas Asri Zainal Abidin sebenarnya, dikatakan menolak fahaman Ahlul Sunnah wal Jamaah, beliau turut dikecam lantaran menolak hadis daripada imam-imam besar. Asri Zainal Abidin tidak gelabah di sebalik penangkapannya, ketenangan yang terpancar tatkala penahanan beliau sewajarnya ditaktrifkan kekuatan hatinya menghadapi ujian Allah itu.

Sehari selepas penahanan, Asri Zainal Abidin diangkat menjadi hero Malaysia, 3 Akhbar utama Negara menceritakan bagaimana rakusnya JAIS menggunakan kuasa. Encik Najib dan Encik Muhyiddin cepat-cepat menyangkal adanya campurtangan kerajaan dalam hal ini sambil mengisytiharkan JAIS tidak tertakluk kepada kuasa milik kerajaan persekutuan, tapi kerajaan negeri Selangor yang merupakan negeri PAKATAN. Encik Hassan Ali cepat-cepat menolak tanggapan ramai dengan mengeluarkan statement beliau tidak tahu-menahu tentang operasi JAIS itu. Siapa sebenarnya bertanggungjawab ni?

Hasil pengembaran 5 hari di bumi Utara, terdapat khabar yang Asri Zainal Abidin merampas mikrofon daripada seorang imam yang ingin berdoa selepas solat. Cara penyampaian yang dikatakan berlebihan dan keras dan juga ketiBenarkah? Wallahua’lam, namun andai kata ia benar, perlukah Asri Zainal Abidin berbuat demikian? Bukankah sepatutnya Asri Zainal Abidin berlapang dada menerima prinsip keterbukaan dalam jemaah? Tidakkah kelihatan seperti JAIS agak keterlaluan dalam hal ini? Adakan Asri Zainal Abidin mampu mencetuskan suasana tidak harmoni di kalangan rakyat sebagaimana didakwa? Besar sangatkah kesalahan menyampaikan kuliah tanpa tauliah berbanding berkelakuan sumbang di tempat awam, tidak menunaikan solat, dan pimpinan yang pecah amanah? Mengapa JAIS tidak memanggil Asri Zainal Abidin untuk berdiskusi, menasihati, ataupun memberi amaran sebaliknya tanpa basa-basi terus menahan?

Tidak berminat saya membangkitkan persoalan mengapa sehingga hampir 30 anggota polis dikerah untuk menahan Ustaz Asri, mengapa hampir semua pimpinan tertinggi Malaysia menyatakan sokongan terhadap Ustaz Asri, kuasa Jais di bawah tangan ghaib siapa, ulasan mantas YDP Yadim, Encik Nakhaei dan sebagainya. Perbezaan pandangan ulama’ bukanlah perkara baru dalam dunia Islam, lebih-lebih lagi apabila latar belakang muslim yang tidak sama. Sesungguhnya, khilaf di kalangan ulama’ adalah rahmat.

Dalam mencari sebuah konklusi, Yusuf Qardawi mengklasifikasikan ilmu Aqidah itu terbahagi kepada 2, yakni, Usul Akidah dan Furu’ Akidah. Usul Akidah membicarakan ilmu yang bersumber terus daripada Quran, dan tidak terdedah kepada sebarang tarsiran mahupun ta’wilan, sepertimana keEsaan Allah, kesempurnaan sifatNya dan banyak lagi. Di sebelah bahagian lagi, Furu’ Akidah mengangkat isu yang bertatutan dengan ilmu yang bersumberkan Quran atau shahih Hadith, seperti, syafaat di akhirat, penurunan Nabi Isa dan sebagainya.

Bagi orang awam seperti kita, kita dibolehkan tata’buq dengan amalan ulama’ tempatan. Tidaklah menjadi isu seandainya kita tidak beramal mazhab Syafie lantaran kita sebenarnya menyangka kita adalah pengikut mazhab itu sedangkan dalam ibadah dan muamalah kita, ada juga tindakan kita yang membelakangkan fahaman Syafie, sebagai contoh cara pembayaran zakat fitah. Hakikat jelas di sini, bagi orang awam di Malaysia, mazhab Syafie hanya dianggap sebagai rujukan utama dalam memahami nas al-Quran. Itu sahaja.

Adalah sesuatu yang tidak wajar seandainya kita menuduh ijtihad imam-imam lain sebagai Wahabi lantaran ia adalah hasil ijtihad mazhab Sunnah yang lain. Tidak membaca Qunut dalam solat Subuh adalah ijtihad imam Hanafi, menggoyangkan tangan ketika tashahhud solat merupakan pandangan imam Maliki, tidak membaca bismillah dengan kuat di awal solat datangnya dari perspektif pemikiran Imam Hanafi dan banyak lagi sebenarnya seperti tidak berwirid selepas solat, kedudukan tangan semasa berdiri dalam solat dan banyak lagi.

Daripada pandangan ulama, istilah wahabi dipelopori musuh Islam dari kalangan kuffar dengan ambisi untuk memecahbelahkan kesatuan umat Islam. Kebenarannya, wahabi dalam penulisan ulama’ terdahulu bukannya merujuk kepada sebuah mazhab khusus sebaliknya ditujukan kepada amalan pengikut Muhammad al-Wahab di Saudi suatu ketika dahulu.

Ulama’ yang terbaik adalah mereka yang meninggalkan kontroversi dan konfrontasi dengan alim setempat, tidak mengamalkan pandangan mereka tetapi tidak juga mencemuh dan menghina pandangan yang berlawanan dengan pendapatnya. Memetik riwayat Ali Abi Talib ; putuskanlah hukuman menurut apa yang kami biasa putuskan (adat), sesungguhnya aku tidak gemar akan perbezaan agar masyarakat boleh terus berada dalam satu jemaah. Ahmad ibnu Hambal pula mengingatkan, tidak wajar bagi seorang ahli Fiqh, mendorong orang ramai mengikut pegangannya, dan berkeras memaksa agar pendapat diamalkan.

Firman Allah swt ; Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasulmu, dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang mengakibatkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatan, dan bersabarlah. Sesungguh Allah bersama dengan orang yang sabar (al-Anfaal : 26). Pertelingkahan pendapat sesama insan adalah lumrah sebagaimana kita meminati warna yang berbeza. Usahlah kita terus-terusan berbeza pendapat, saling menyalahkan, sebaiknya berlapang dadalah. Sesungguhnya, warna yang berbeza itulah yang mengangkat keindahan Islam.

[hasil rujukan dalam kitab Kayfa Nata’amal Ma’a Turath wa at-Tamazhab wal Ikhtilaf, al-Qardawi]

Apabila aku menulis tentang 2012 ..



Berhadapan dengan deretan peperiksaan yang tersusun tidak menghalang aku untuk menyediakan serelung waktu untuk menonton 2012, yang merupakan nukilan terbaru pengarah yang turut sama menggarap Independence Day dan The Day After Tomorrow. Menggunakan tagline ‘we were warned’, pengarah terus mengekalkan tradisi melahirkan filem-filem yang memaparkan kehancuran alam, runtuhan bangunan, percikan api, dentuman bunyi sebagai wasilah penyeri dalam karya terbarunya.

Ada apa dengan 2012? Berpaksikan kepada bacaan-bacaan, perkongsian dengan sahabat seperjuangan, terdapat teori yang mengangkat angka 21 Nov 2012 yang jatuh pada hari Jumaat, sebagai tarikh di mana segenap bumi akan hancur, yang turut memberi erti kepada setiap yang berpegang kepada kalimah tauhid , Lailahaillallah, kedatangan yaumul Qiyamah. Benarkah teori ini? Sejauhmana kebenarannya terbukti? Secara jelas, Allah langsung tidak memberi satu tarikh yang tepat, bila Qiyamah akan menjengah bertandang kepada kita. Sekadar memberikan peringatan bahawa ‘The Final Judgement’ itu bakal hadir dan masanya tidak ditentukan. Apa yang kita ketahui, Qiyamah akan terjadi pada hari Jumaat sebagai penghulu hari.

Bijaksananya Allah, dengan menjaga kerahsiaan Qiyamah, setiap yang beriman pasti gusar berbuat zalim, lantaran tidak tahu bila hari Perhitungan akan hadir. Andai kata, diketahui lusa akan berlaku Qiyamah, hari ini pastinya kita berbuat maksiat sewenang-wenangnya, dan esok kita akan melagukan rintihan taubah sesungguh hati. Akan tetapi, buat mereka yang berfikir, Allah perjelaskan tanda-tanda Qiyamah akan hadir, baik besar mahupun kecil.

Apa dalam 2012? Tidak dinafikan yang terdapat kemungkinan filem 2012 ini juga termasuk dalam tanzim perancangan agenda-agenda tersusun Yahudi laknatullah. Sepertimana peristiwa runtuhan WTC, pembunuhan Princess Diana, penularan wabak H1N1, kematian Michael Jackson, 2012 juga menjadi penerus rantaian usaha mereka memerangkap umat Islam, sekaligus memerangi kita. 2012 merangsang otak kita mengiakan kiamat akan tiba dalam masa 3 tahun lagi. Kendatipun tidak secara total, akal kurniaan Illahi ini pastinya tidak menolak hujah-hujah kukuh yang ditonjolkan dalam cerita ini.

Usia bumi yang sudah terlalu tua, hikayat bintang-bintang yang akan berakhir dengan letupan,magma yang tidak normal dalam bumi, perjalanan cakerawala yang tidak tersusun, cukup bugar untuk menorosok menerobos ke dalam akal, sekaligus mengiakan yang kehancuran alam akan tercetus. Benar, pengakhiran itu akan tiba, tapi caranya hanya Allah yang tahu. Biarlah rahsia. Atas apa-apa sebab sekalipun Allah berhak menghancurkan alam ini lantaran hakNya sebagai pencipta. Takkan terbayang dek keterbatasan akal manusia, dan mungkin beribu kali ganda lebih dahsyat dan menakutkan daripada adegan bayangan dalam 2012.Allah menceritakan dalam al-Waqiah ayat 4,5 dan 6 ; kiamat itu terjadi apabila bumi digoncangkan sekuat-kuatnya, gunung-gunung dihancurkan sehingga menjadi debu berterbangan. Sekaligus dalam surah yang sama ayat 81, Allah menempelak golongan-golongan yang mendustakan peringatanNya ; apakah kamu meremehkan berita ini? Dan andaikanlah, segenap alam maya ini hancur sepertimana yang diprovok 2012, helah sebagai penyelesaian tetap ada. Bila dikatakan kiamat akan berlaku disebabkan perlanggaran antara planet, hantar sahaja team penggerudi seperti dalam Armageddon. Andai dikatakan bah besar akan melanda, bina sahaja negara manusia atas bahtera yang terbentang. Cukuplah kita beriqtiqad yang Qiyamah akan datang kerana ia sudah sebuah ketentuan, dan apapun sebabnya, Allah Maha Mengetahui.

Qiyamah versi rekaan manusia dalam 2012 ini memberi peluang setiap insan lari daripada kedahsyatannya. Mencari tempat berlindung di kala saat paling menakutkan tiba adalah tema bagi 2012, dan akhirnya, mereka berjaya mengatasi bencana alam itu.Padahal, hakikatnya, tidak ada satu benteng pun yang berupaya menggugah betapa dahsyatnya Qiyamah. Ingatan Allah dalam al-Qiyamah ayat 10, 11 dan 12 jelas menjawab persoalan ini ; pada hari itu manusia bertanya kemana lagi harus mereka melarikan diri, Allah menjawab ; tidak, tidak ada lagi tempat berlindung, hanya kepada TuhanMu kamu akan dikembalikan.

Daripada aliran pemikiran bertentangan, 2012 mengajak kita meningkatkan amal ibadah, di samping bertaubat atas koleksi dosa-dosa yang terhimpun sebagai persiapan menghadapi qiyamah. Biarpun ia bukan pada tahun 2012, mungkin sahaja ia berlaku Jumaat ini, ataupun Jumaat depan, siapa lagi yang mengetahui hakikatnya melainkan Allah Azzawajalla? 2012 turut menggambarkan kepada kita ketakutan menghadapi suasana kacau bilau Qiyamah. Saat huru-hara begitu, seorang ibu pun sanggup meninggalkan anaknya. Walaupun 2012 hanya rekaan, dan tidak lebih dari imiginasi seorang manusia, tarbiahlah diri kita meyakini bahawa Allah Maha Berkuasa. Kekuasaan Allah tidak bersyarat, tiada tertakluk.

Moral yang dapat kita garap daripada 2012, kita sewajarnya menginsafi tanggungjawab sebagai pimpinan sebagaimana watak Presiden Amerika dalam 2012. Kesanggupan untuk berkorban demi rakyat jelata, bersusah payah bersama masyarakat menghadapi saat-saat yang sepatutnya beliau tidak perlu hadapi, dan menyuarakan sebuah kebenaran demi mengenepikan sebuah kebatilan wajar dijadikan pedoman. Begitu juga watak Shasha, pilot yang sebenarnya berkesempatan untuk terus hidup tetapi memilih untuk berkorban demi penghidupan orang lain.

Sebagai konklusi, marilah kita bertadabbur dengan kalamullah dalam surah Al-Qariah 1-11 ; Hari Qiyamat, apakah hari Qiyamat itu?, dan tahukah kamu apa itu Hari Qiyamah?, pada hari itu manusia seperti serangga yang berterbangan, dan gunung-ganang seperti bulu yang dihamburkan, maka adapun orang yang berat timbangan baiknya, maka dia berada dalam kesenangan, dan bagi mereka yang ringan timbangan kebaikannya, maka tempat kembalinya adalah neraka Hawiyah, dan tahukah kamu apakah neraka hawiyah itu?, ia adalah api yang sangat panas.

Wallahua’lam.

[hikmah daripada laptop rosak, kena hantar g Lowyat, n sempat tgok movie ni]

Thursday, November 19, 2009

Saya Sedang Bermusafir laaa~

salam alaik korg~

bwt masa skrg~

ak nga online kt uma raafiq~

cuaca yg xley diterka~ mood badan yg xsekata~

menyukarkan projek berjalan2 ak~

namun alhmdulillah~

byk tmpt ak da g~

byk mnd ak da blaja~

i'Allah~ ak akn kongsi ngn korg~

seyezly,

ak rindu nk men futsal ngn budak2 sume~

rindoo nk pelok cham ngn yus~

tapi apakan terdaya~

ak lebih merindukn adik2 ak kt uma~

so~

meh r kite saling merindu ea?

hoho~

bungkisan salam utk shbt2 sume~ semoga i'Allah, uzlah semntara ini kan cekalkn smgat kita~

bekalkn kita ngn cebisan hidayah~

agar redha Allah kn jd mlik kita bersama~

Wednesday, November 4, 2009

One passed, five to go

Bismillahi walhamdulillah~

Posting ini dilakar tatkala roomate2 sekalian sedang leka menjayakan rancangan masing2. Hisham Marzuki mungkin sahaja sedang tidur, lantaran kepenatan menyerap nota2 untuk exam Syariah esok. Kebarangkalian Raafiq Zakaria untuk main Footbal Manager pula sangat tinggi, memandangkan tabiat beliau yang sudah tidak dapat dinafikan lagi. Yusri Yusof pula sememangnya sedang menghabiskan masa2 terluang menonton movie2 yang tidak pernah berkehabisan itu, sementara Izzat Ghazali ini baru sahaja bangkit dari pembaringan yang panjang rentetan daripada peperangan Tort di belahan bumi yang bertentangan tadi.

Alhamdulillah, hasil daripada pertapaan bersama Abang, Dhue, Nasrul, Daniel, Iena, Syaza, Ain ternyata memberikan impak yang aku sendiri tidak pasti ia besar, atau kecil. Cukup atau xcukup untuk menjamin keputusan yang lebih baik. Apapun, aku tega berpegang pada pesanan Rabbul Alamin dalam surah Fussilat, ayat 46 mafhumnya ; dan barangsiapa yang menunaikan kebaikan, kepadanya lah beroleh kebaikan itu, barang siapa yang berbuat kejahatan, kepadanya jualah kejahatan itu akan dikembali, dan Allah sekali-kali tidak menzalimi hambaNya. Daripada lain, ayat ini jelas mempamerkan kepada kita, apa sahaja yang kita lakukan, baik maaruf mahupun mungkar, baik study ataupun tidak, semuanya akan berbalik kepada sekujur jasad kita sendiri. Ini amat bertetapan dengan pepatah arab yang tidak ditransilasi, man jadda wa jada.

Baru sahaja membuka slide show UNGS sebentar tadi, 5 minit mata merenung skrin, fikiran terlontar jauh. Sedangkan selama ini 3jam melekatkan mata, untuk menelusuri dunia tanpa sempadan dengan internet, langsung tidak menjadi masalah. Kuselak-selak semak buku di meja, menebas mana yang patut, mencari note2 UNGS, tapi sayang, pencarian menemui kebuntuan. Mood belajar terus hilang, terbang tinggi digantikan dengan penyesalan, “apsal xbuat nota UNGS awal2 sem dulu?” Dan episod2 sama di akhir sem terus dimainkan kembali.

Semoga Allah mendengar rintihan2 hati kita semua, yang menangis merayu akan diberikan apa sahaja yang kita pinta, tanpa kita sedar yang kita selalu melupakan hak2 Dia~ semoga Allah tidak menguji kita dengan ketetapan yang sukar untuk kita diterima~ semoga Allah memberikan kekuatan kita untuk kita memenuhi tuntutan2 sbg pelajar, anak , sahabat dan teristimewa sebagai hambaNya~ semoga Allah membuka pelusuk hati2 kita, dan dimudahkan proses asimilasi ilmu dengan diri kita~ insyaAllah, kejayaan akan menjadi milik kita bersama~

Amin~

[tangisan perut lantang kedengaran]

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...