insyaAllah. bersama kita berkongsi ilmu ;)

Sunday, January 3, 2010

2010... sEbUAh pErmULaAn...

Bismillah walhamdulillah~

Singkapan tahun baru kalaupun tidak banyak, tetap mengocak takungan fikiranku. 21 hadir sebagai angka baru, sekaligus sebagai jawapan untuk persoalan umurku. 21 tahun penghidupan, sela waktu yang panjang namun berlalu sekilas pandang, sekelip mata. Warna-warni 20 tahun dihidupkan Allah di muka bumi ini, sangat rumit untuk diterjemahkan dalam nuansa penulisan. Ceritera tentang hidup diisi dengan jatuh bangun yang silih berganti. Sulaman berjaya, gagal, sedih, gembira, dipintal untuk membentuk seutas talian yang panjang. Sebuah penceritaan seribu satu malam, sebuah hikayat tamsilan diri yang terabadi, takkan berulang kembali.

Hidup. Di dalamnya terkandung semalam, hari ini dan esok. Adanya semalam untuk diimbau sebagai kenangan. Sejarah yang memberikan pengajaran. Impak kepada suatu tindakan, sama ada baik atau buruk. Hari ini berperanan sebagai medan pengubah masa depan. Medium yang terbuka untuk dicorakkan berdasarkan pengamatan semalam. Setiap kita berkuasa untuk menentukan hari ini, bukan semalam. Dan esok merupakan natijah hari ini. Esoklah produk garapan kita hari ini. Apa sahaja yang mungkin tercetus esok, ditentukan hari ini.

Dan aku, terus-terusan termangu sendiri. Memerhatikan semalam, hari ini dan esok silih berganti. Buku sejarah 20 jilid yang dijadikan panduan hanya terkadang kubuka, bimbang terlalu kerap menoleh ke belakang hingga terlepas pandang ancaman di depan. Jalan lurus, dataran landai, selekoh tajam, cerun curam menutup kisah hidup untuk jilid ke 20 semalam. Dan hari ini, aku berharap agar catatan sebuah kehidupan jilid ke 21 ini bermula dengan baik, dan ditutup dengan baik juga. Medan juang yang terpampang di depan mata, tidak membenarkan aku melangkah pergi sebelum peperangan ini selesai.

2010 adalah tapak tangga untuk bukan sahaja aku, malah kita semua memanjat tangga kematian seterusnya kehidupan abadi setelah dibangkitkan daripada mati nanti. Ibarat sebuah lantaian yang panjang diakhiri dengan tali gantung di penghujungnya. Setahun berakhir bererti selangkah menuju pengakhiran. Kehidupan yang didokmakan indah ini, bukan bererti kita hanya berseronok menikmatinya. Sebaliknya, punggahlah sebanyak mungkin bekalan amal selaras dengan kehidupan dunia selaku tempat persinggahan. Umpama hentian sebelah di lebuhraya. Ini bukan destinasi kita. Justeru, beringatlah wahai diri. Usah berlebihan menikmati dunia, sehingga terlupa tempat tujuan sebenar yang menanti.

Sesungguhnya mereka (orang kafir) itu mencintai kehidupan dunia dan meninggalkan hari yang berat (akhirat) di belakangnya. 76:27

YaAllah~ semoga kedatangan tahun baru hijriah membawa kebaikan berterusan kepada kami~ bukan sahaja di dunia~ malah di akhirat jua~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...