insyaAllah. bersama kita berkongsi ilmu ;)

Sunday, November 6, 2016

Bacaan Hari Tua 1

Bismillah walhamdulillah.

Imbas kembali ; 6 Mei 2014.


Pagi ni memang rusukkiri dijadualkan check up. so selaku suami supersaiya, aku akan apply halfday sebagai tanda sokongan kepada beliau lepas penat mengusung ke sana ke mari. part kena paksa minum susu, makan ubat, telan air gula tu aku takleh nak buat apa dah. takkan laa aku nak pegang perut rusukkiri masa turun daripada kereta daripada kereta nak gi jogging tasik titiwangsa pulak kan? takkan pulak aku nak minum susu nak kasi tulang beliau bertambah kalsium? ni je lh yang termampu nak bagi moral support. err, part tadah telinga dengar dia cerita tu nanti yg pernah jaga isteri mengandung harap fahamfaham sendiri. hihi.

Walaupun suasana klinik kat tempat aku ni ibarat ofis JPJ time ada offer diskaun saman, aku gagahkan diri jua. kat situ korang akan nampak ibu-ibu mengandung terpaksa berdiri macam konduktur bas, pasal semua kat situ preggy, so takde orang nak murah hati bagi seat kat engkau, "pinggang aku lenguh jugak", "baby aku ada kelas karate jugak dlm perut", dan lain-lain merupakan antara getusan hati mereka. haha. so macam biasa aku akan melewar kat luar, sambil-sambil carik orang ada pegang paper, pastu sembang 2 minit. topik-topik seperti anak no berapa, dah berapa bulan tu kira dah selalu bermain di bibir lah. pastu kalau respon baik, biasanya akan melarat sampai MU ni team power, Arsenal main utk 4th position, dll. kalau respon terlampau baik, "abang ada nak saman orang tak bang? saya peguam." kahkah. ok aku tipu. tapi mostly, respon suamsuam kuku, so dengan rendah diri aku cakap, "bang, pinjam paper kejap?"

on the way balik tu aku singgah beli makan, rusukkiri ni dah slowslow macam pelik sikit, biasnya doktor ni kata gini, doktor tu kata gitu. tapi kali ni dia enjoy je melemparkan pandangan ke luar tingkap. rusukkiri ni jenis yang kalau aku cakap takleh sekali dia diam terus. tapi kali ni, sejurus dia nampak satu kedai ni, dia mintak 'coconut milk shake' tengah-tengah hari. aku dah cakap tunggu pasarmalam, yelah confirm2 laa ada orang jual kan? tapi sebab gesaan dia kali ni macam bertaraf lain macam dan bukan biasa, walau hangat tar kat jalan sampai nampak fatamorgana, kerana terpaksa aku relakan laa kan? hoho. so aku steady park jauh sikit, cakap kat rusukkiri tunggu jap, dan berjalan kaki gi kat kedai tu, "kak, coconut milk shake, satu. bungkuslah." Part ni memang epik. raut muka akak ni macam blur. pastu macam nak gelak, tapi tambah dia pandang slek. gulp. dia ingat aku ponteng sekolah ke mende ni kan? tetiba member dia sound, "mana ada coconut shake sini banggg." 

ok. aku tepuk tangan. sambil memberi kata-kata semangat pada diri sendiri. order air nyior bungkus. dalam kepala rusukkiri ni berhalusinasi ke apa nampak ada coconut shake kat sini. part mintak mende takde tu satu hal, part bagi nama panjang - coconut milk shake padahal coconut shake - tu satu hal lagi. aku bayar, senyum sikit konon cover malu, pergi kat kereta, cakap kat rusukkiri, "ada banyakkk sangat milk shake syg, sampai taktahu nak pilih yang mana satu." kehkeh.

sampai umah. jam dlm kol 1 gitu lh kot - aku dh lupa. rusukkiri cakap nak baring kejap pasal baby ada sparring pulak dlm perut pulak arini. lenguh. so dia baring atas sofa, aku landing kt bawah. bukak tingkap sikit, turunkan langsir, pasang kipas, boommm terus lelap.

..
..
..
..

"bang. bangun bang." aku dah biasa dengar skrip gini so aku steady lagi buat buat rilek. "bang. air ketuban dah pecah ni" okay skrip ni skrip baru. so aku kena react. gulp. dah nak beranak ke? aku ada baca dah pasal suami jadi bidan sendiri, tapi dengar cerita bini dia dah serik nak beranak. haha. part ni aku kena berterimakasih kt abah. sbb genetik tenang dia masuk jugak dlm darah aku walau tak banyak. aku bangun suruh rusukkiri rilek kejap. kasi dia makan dulu. well, kalau tak makan, mana nak datang tenaga kan? kalau takde tenaga macamana nak push baby keluar. rusukkiri dah makin tak keruan ni. makan pun tak sampai separuh. ishh. dia ingat aku ni ada pengalaman sangat ke, 'ni pun baby first abang jugakk sayanggg oiii'

Riak risau kat muka kena cover, rilek izzat, rilek. Jangan tunjuk sangat ko cuak, kang mental jadi down. fuuhh. beg bersalin, beg baby, beg baju semua dah siap-siap prepare dalam kereta. Yelah. mana tahu nak terberanak tengah malam ke, senang. masuk kereta, terus gi spital. So lepas aku bagi taujihat ringkas depan cermin kat diri sendiri. aku pimpin rusukkiri masuk kereta. terus gi hospital. dalam perjalanan, rusukkiri diam je. ahhh sudahh. aku pulak yang naik risau. habis aku bukak cerita daripada kisah jack dan kacang ajaib sampailah kisah fitnah akhir zaman terhadap gerakan Islam, rusukkiri tak respon sangat. ni kalau beranak tengah jalan ni memang boleh jadi cerita tiga keturunan ni.

sampai hospital, orang ramai. fuuhhh. lepas daftar semua, doktor suruh tunggu?! Perghh. silap pulak tak pakai baju korporat peguam ni, hahaha, untung-untung dapat masuk wad terus. tapi, memang penuh rumbu graduan ibu menunggu kat luar, aku tak sure samaada tengah tunggu turn masuk dewan bersalin, or saja nak sambut rusukkiri kat luar. memandangkan rusukkiri pun boleh senyum senyum lagi, aku malas nak bertekak laa. so aku tunggu je lah keluar. 

dalam 10 minit, rusukkiri masuk, aku dah bukak langkah dah nak prepare azan senafas nanti ni. kohkoh. sedang aku mendoakan yang baik-baik, ada makcik tegur aku, 'isteri dah kat dalam ke dik?', 'aah, makcik dah lama tunggu ke?' aku jawab pendek, kang kacau pulak konsentrasi aku ejas azan versi akhil hayy. 'baguslah datang teman isteri.' gulp. cubaan dia nak ajak sembang aku tu memang tak kenal erti putus asa. sudahnya - disebabkan genetik mudah mesra mak ni ada dalam badan - memang aku layan jugak laa dia sembang.

so hasil persembangan aku dalam dekat setengah jam jugak tu, aku nak ingatkan kita bersama, tentang keperluan ada hubungan yang baik dengan geng satu kerja dengan kita. jangan lokek nak tolong apa yang kita mampu, jangan kedek nak kongsi apa yang kita tahu, jangan rasa rugi nak bahagi apa yang kita ada, sebab time-time kita genting gini laa pertolongan-pertolongan kita yang lepas tu akan jadi pertimbangan untuk orang tolong kita kali ni. 

area tempat menunggu tu ada port solat, kalau ikutkan jiwa muda, cukup syarat dah nak letak kepala barang selagu dua, tapi untuk tidak dilihat gagal menghormati perasaan rusukkiri yang tengah bertarung nak keluarkan seorang manusia yang kita panggil baby, aku withdraw balik keinginan tersebut dengan kebebasan untuk menfailkan permohonan semula. hoho.

dalam jam 5.30 petang, nurse laung, "suami iffah nabillah." aku yang tengah syok susun-susun beg bingkas bangun angkat tangan, "saya cikguuu!" okay. aku tipu. ingatkan dia suruh masuk tengok rusukkiri, tapi dia sampaikan pesan, rusukkiri mintak kain batik, dan lain-lain lagi.  (sebenarnya aku dah lupa apa yang nurse tu nak haha.) lepas bagi barang-barang tu, aku mintak nak masuk dalam jumpa rusukkiri kejap, tapi nurse tu tak kasi, dia cakap baru ada kak lepas bersalin kat tempat menunggu kat dalam. so right of movement aku telah dinafikan sewenangnya.

lepas solat, port aku kat tempat menunggu tu dah ada mamat lain kebas. haish, menyesal pulak aku tak letak nama siapsiap tadi. so aku keluar, call mak ganu & ma ipoh bagitahu kitorang dah kat hospital, takyah risau, insyaAllah takde masalah. mintak mak & ma doakan moga moga segalanya dipermudahkan. update group wassap mintak doa sahabat-sahabat yang soleh dan wara'. dan aku amik kesempatan ni nak pesan, ini adalah antara keperluan terbesar kita berkawan dengan orang-orang baik walaupun ko rasa serabut telinga pasal asyik kena sound suruh pakai seluar tutup lutut time futsal. nak berkawan dengan geng jual emas ke, geng Myvi Owner ke, geng Lawyers for Liberty ke, kena pastikan ada jugak kawan dengan orang-orang soleh. supaya time hanyut karang, ada jugak yang nak balik pelampung tarik kita balik.

lepas maghrib rusukkiri bagitahu, dia kena warded, pasal contraction tak berlaku dalam sela masa yang dekat lagi. haaa, mesti ko yang tak kawin lagi tak tahu kan? catit ni, catit. nak beranak ni bukan ko push, pastu terus budak tu keluar, haii untunglaa kalau senang macam tu kan? ada satu pressure drp dalam rahim, yang akan berlaku sebagai tanda yang baby betul-betul dah ready nak keluar. mula-mula rahim rasa tegang jarang-jarang, pastu makin dekat dengan waktu yang mak bidan nak catat dekat rekod kelahiran bayi tu nanti, dia jadi makin tinggi kekerapan dia. biasanya selang 5 minit contohnya, tapi kali ni dia jadi selang 30 saat dia rasa, haaa. nampak tak pengalaman tu?

port katil rusukkiri ni terbaik, betul-betul side tingkap, sebilik ada 4 orang, tapi masa rusukkiri masuk, baru ada 3 orang, toilet ada dua, siap dengan aircond semua. rusukkiri dah tukar pakai seragam hospital dah, warna pink. aku baru nak kemas barang-barang letak dalam loker kasi cantik sikit ada nurse bagitahu aku takleh duduk lama sini sebab sekarang bukan waktu melawat. lagipun, takut patient lain tu rasa terganggu pasal ada lelaki kat dalam. so aku faham. tak best jugak orang datang time ko tengah nak rehat lepas ko beranak kan? aku letak air kotak sebelah bantal rusukkiri sekali dengan handphone. papehal aku tunggu kat luar wad.

dekat ruang menunggu wad tu ada seorang makcik dengan menantu dia. kes sama macam aku jugak, time tak datang lagi. so kena prepare anytime. bini dia kat wad 3rd class, so kongsi ramai-ramai 16 orang. lepas cerita-cerita sikit, bro tu sibuk main hp, bukan jenis nak sembang sangat, makcik tu dah siap cantumkan 2 sofa nak landing kat situ, bernas idea dia, cuma port situ sejuk sikit. kalau dapat selimut ni memang boleh pergi jauh. aku sandar kt sofa, try carik mood walau dalam dada ada sikit risau, apa ceritaa laa rusukkiri kat dalam tuu.

aku sedar bila dengar suara ada sorang makgad kejut lelaki tadi. kahkah. dia siap hampar towel baring atas lantai bro. memang win habis.  makgad bagitahu situ takleh tidur, memandangkan bakal jadi ayah, aku malas nak rebel walaupun lepas makgad tu blah lelaki tu hampar balik towel. aku turun bawah carik kereta, kalau balik rumah ni kang, ada kirim salam daripada kejauhan je nanti. so, aku berijtihad untuk tidur dalam kereta demi maslahat yang lebih besar. kohkoh.


... bersambung...

(Allahu. Berkat dapat hidayah update blog pagi tadi, rupanya aku ada menulis lama dulu pasal Icad lahir dan masih utuh tersimpan di draf. mintak maaflah, tak tahu bersambung ke tak sebab rasanya macam dah tak banyak memori aku ingat pasal Icad ni memandangkan memori Iham dah amik alih. haha. ) 










Ilusi - Kita Yang Terpedaya.

Bismillah walhamdulillah.


Lama tak menulis blog, kejung jugak jadinya. Alasan untuk menipu diri sendiri yang terbaik adalah cakap saya sibuk. Tak tahu lah sibuk apa. Mungkin sebab dulu tak diganggu laman sosial sangat, jadi blog adalah tempat saya menulis. Bukan untuk orang sangat sebenarnya. Tapi untuk diri, untuk express innerself, & reminding my-future-me apa yang dah my-today-me dah buat tentang hidup hari ini.
Kewujudan laman sosial macam FB/Twitter/Instagram dan seumpamanya, sepatutnya pada saya tidak mengganggu proses menyelam diri menerusi menulis blog. Namun disebabkan kegagalan mengawal kegilaan bersosial di laman palsu sebegitu, membuatkan sesi self-reflect turut jadi gersang. Mungkin di sana (laman sosial) sudah menjadi 'overkill' - dengan orang yang pelbagai tahap pemikiran, berbeza latar belakang, dan dihimpunkan di satu tempat yang semua orang meluahkan apa yang dirasa. Hinggakan variasi pandangan terhadap satu-satu perkara tidak lagi mencantikkan kanvas hidup, malah lebih teruk menconteng terus lakaran ini.

Yang betul ada penyokong, yang salah pun ada penyokong. Kalau dulu - kita yang tidak tahu memilih untuk diam, tapi kita hari ni jadi berani meluah atas alasan kebebasan berekspresi. Kalau dulu - kita yang tahu memilih waspada menutur bimbang ada kata yang bakal mengguris, tapi kita hari ni jadi semangat mengurai setiap simpulan biarpun tanpa meneliti permasalahan terlebih awal. Ingatlah saat seorang alim ditanya, keldai yang ditunggangnya mempunyai berapa kaki? Beliau memberhentikan keldai, turun dan mengira terlebih dahulu sebelum menjawabnya. Bagaimana dengan kita?

Dan ruginya - suasana ini memberikan lebih banyak mafsadah berbanding manfaat kepada kita.

Semoga apa yang benar, dilihat benar, dan didekatkan kepada kita.
dan yang salah, dinampakkan salah, dan dijauhkan daripada kita.

Wallahua'lam

Thursday, June 4, 2015

Artikel Tanpa Tajuk 2.0

Bismillah walhamdulillah.

1) Maaflah blog. kalau dulu boleh ada jadual tetiap minggu boleh semangat update mu. sekarang bila baca post-post dulu, rasa sedih pulak bila macam dah lama kena tinggal. ini penangan fb, blog.  kalau fb takde

Mungkin betul kata ust hasrizal, fb ni terlampau laju, lebih laju daripada penilaian fikiran kita. kadang-kadang segalanya dikongsi, tulen dan fitnah bercampur baur. kalau dulu, kenyataan daripada lelaki berkopiah perempuan berpurdah jarang sangat tidak benar, tapi sekarang tidak lagi. dan ini benar-benar sesuatu yang harus kita sama-sama insafi ; bahana facebook, dan inilah fitnah akhir zaman.

2) Muktamar Pemilihan PAS. sebagai petugas parti sejak 5 tahun (hantar harakah dengan abah, tukang celup plywood dengan warna hijau - nanti abah cat bulat putih) dan ahli berdaftar seawal 18 (kem anak pimpinan lepas spm), adalah mustahil aku tidak mengikuti perkembangan kan? 

namun disebabkan serabut dengan kempen agresif kedua pihak, aku berlepas diri. rasa sayu sungguh bila nilai ukhwah 5 tahun tergadai semudah tisu disuakan api. ada yang siap bagitahu kat orang lain, jangan percaya kat member ni sebab dia blablabla. ada jugak yang tuduh orang ni ada agenda jahat. dan pada aku, cukuplah kita menilai apa yang terzahir, dan biarlah Allah menjaga apa yang terlindung.

dan sebagai amilin, untuk ada calon favourite ni menyusahkan kita sebenarnya. cuba kalau orang yang menang tu, bukan orang yang mu nak? mungkin rasa dia sama macam orang yang mu nak kawin, tapi dia kawin dengan orang lain. koh! siapa pun menang, biarlah dengan kemenangan itu, mampu bawak Islam menang. tu lebih daripada cukup dah. 

3) irsyad hadi. anak teruna aku dah pandai khenak orang oiii. ini fasa mencabar sungguh, sehinggakan abi super saiya pun kerapkali gagal jugak. huuuu. syukurlah rusukkiri ni ada jurus jugak. so bila aku busy dengan dunia aku, icad pergi kacau umi pulak. kalau nak list, mungkin aku akan tertidur sebelum aku sempat tulis semua (sebab aku lupa), tapi kalau setakat curah bedak, terbalikkan mangkuk bubur nasik, koyak kertas abi, 'kemas' beg orang, hilangkan tudung pen, bawak kunci kereta pergi dapur dan campak hp & remote tu boleh kira mathurat sughra harian laa. 

kalau nak pergi mana-mana event, kena tanya dulu, ada tempat baby tak? sebab icad tak suka orang pegang dia. dan atas sebab yang sama, dia rasa syurga sungguh kalau pergi masjid/surau. tempat lapang dan ada banyak kunci kereta untuk dibaling. hihi. jangan membesar laju sangat icad, nanti abi umi rindu. 

4) wawasan hidup baru. dengan kehadiran icad, ada perincian pelan hidup aku kena review. sesungguhnya Kuala Lumpur bukanlah tempat yang tepat untuk besarkan seorang manusia. betul ada yang tabah mampu redah, tapi aku nampak, aku tak setabah itu. jiran keliling kawasan rumah yang aku tumpang ni menjadikan aku takut dengan environment untuk seorang budak belajar kenal dunia.

aku orang kampung. memori tangkap ikan sekila letak dalam bekas kaca kunyit mak pergi bawak berlaga tu mekar lagi dalam ingatan aku. kena rotan dengan hanger sebab balik rumah dop basuh kaki balik main bola bawah bukit, jalan kaki gi masjid ramai bagitahu mak dengar kuliah padahal main te-kejo dekat taman mainan sampai basah jeruk baju (lepas tu takdah sebab mak cerita situ ada hantu), akan sampai bila-bila dikenang, dan dijadikan pengajaran.

di sini, masuk rumah kunci pintu pagar, kunci grill depan pintu rumah, kunci lagi pintu rumah. awal pagi keluar rumah kunci, dah malam balik rumah kunci. jalan depan rumah lengang, basikal ada tapi kena angkut dengan kereta pergi main kat taman layang-layang takpun tasik titiwangsa. hukaloh!

doakan aku dapat tempat - yang lebih baik - untuk rusukkiri, untuk icad. 

5) amal jamaie, amal fardhi. hidup kita ni, bukan untuk hidup masa ni je. ada satu hidup lain, yang akan nilai balik apa yang kita buat dalam hidup ni. sebab tu kena beramal. kita keluar pagi, balik malam, cari makan. lembu pun sama la. so apa yang kita kena buat untuk bezakan lembu dengan kita? beramal. 

amal ada dua. amal fardhi tu yang mu boleh buat sorang-sorang. macam solat, puasa, ngaji quran. tapi kalau cukup dah amal fardi tu, takkan Allah suruh Rasulullah berhijrah ke Madinah kan? ringkas cerita, ada jugak amal yang kita kena buat ramai-ramai, supaya satu plan jemaah dapat direalisasi dalam usaha memartabatkan Islam ya'lu wala yu'la alaih. 

amal fardhi ni terpulanglah kepada korang. dan amal jamai' ni aku seru supaya kita semua terlibat. cukuplah hidup sorang, balik kerja tengok tv, tidor, esok pergi kerja balik. ada masa kita muhasabah, ada masa kita tambah ilmu, ada masa kita buat kebajikan. cukuplah jadi kera sumbang tu ye. *keratutupmulut*

6) tolong doakan aku. kuat & bertambah baik.


IzzatGhazali-
01.10am-
Baitul Izzah-
 
Nikmat manakah lagi, yang mampu aku dustakan?

Wednesday, September 10, 2014

Artikel Tanpa Tajuk 1.0

Bismillah.

Saja aku nak menulis - sebab orang kata kalau time otak kau dah jammed, jangan dok paksa sangat. Aku pun sebenarnya tak tahu pun nak menulis pasal apa. So, aku tulis je lah apa yang terlintas kat kepala ya?

1) Bercakap dengan diri. Before tidur malam-malam, otak kena ajar train dah nak buat apa - senang nanti ko nak schedule siap-siap, mindset yang badan maybe akan rasa letih lagi drp biasa, or akan rasa gabra sebab esok ada present proposal or apa-apa. Sebenarnya kita dah buat mende ni tanpa kita sedar - by cakap dalam hati - tapi aku suggest, kita try untuk buat adat istiadat ni macam rasmi sket - duduk elokelok - tarik nafas panjang - bercakap dengan mulut sendiri - untuk didengar telinga sendiri. Secara tak langsung, kita akan lagi fokus sikit, compare dgn ko sembang dalam kepala je.

2) Baca dan fikir. Tahukah anda membaca itu penat? dan bidang yang aku pilih ni memang gasak habis - kena baca, kena baca. Thats why aku rasa bengang sikit dgn kawan-kawna yang konon nampak intelek sembang kemah tapi malas membaca. Dengar drp orang, then dia makap sikit, dah boleh dah buat slot penerangan. Betul - part semua orang berbeza dia punya kemahiran - ada yang cara dia memang mendengar je, ada yang jenis visual dll - tapi still alasan malas untuk membaca ni tetap takleh terima. lebih menambah amarah, buat yang jenis masa beli buku - perghhhhhh -tapi membaca ntah kemana. konon nak bagi nampak educated laa, tp kukatakan bye2. tambah laa bahan bacaan yang sekangkang nyamuk tu. buat malu orang laa weh.

3) Menconteng asas percambahan idea. mak aku dulu ada tabiat rare. boleh rujuk post blog aku yang sudah-sudah - yakni ; beliau suka menconteng. dan secara genetik, tabiat ni turun kat aku. aku boleh masa tengah interview orang, aku siap tulis list untuk beli barang dapur. aku penah conteng borang JPN nak daftar nama Irsyad berkenaan pecahan duit gaji pasal lambat sangat nak tunggu turn nombor kena panggil. masalah aku adalah, kertas tu akan hilang. dan hilangnya biasa tidak muncul kembali. yang bagusnya, aku akan conteng lagi, so contengan yang kedua ni adalah improvisasi drp contengan awal. cuba ko bayang kalau dah 16 kali hilang? confirm rusukkiri sound laa. huhu.

4) Pengaruh media sosial. dalm hidup hari ini, media sosial dah jadi macam nyawa, aku rasa kalau aku uninstall wassap, fb, twitter, hangout, telegram, line (saje list banyak nak suruh nampak power), confirm aku boleh update odoj tetiap hari. ni ada hari beria boleh henjut habis - ada hari rebah tak bermaya nak dapat 5 muka kira sujud syukur. dan kenapa aku x uninstall je terus? sebab media sosial ni penting. macam aku nak tahu update progress kerja kalau wassap takde? macamana aku nak tahu ada sanak saudara sakit tenat, masuk hospital, meninggal semua kalau unistall wassap? (Alfatihah untuk PakDaud tokcikNoh) ... Membuktikan media sosial ni perlu ada - cuma pengehadan (gulp. ada ke perkataan ni?) dia berkadar terus dengan disiplin diri. 

5) Library ni tempat puaka. aku lahir dlm keadaan bising (sebab nangis. kot?), membesar dgn adik beradik yg penuh rumah, berkawan dgn budakbudak yang happening, roomate aku beranak dalam bilik karaoke. Dan keberadaan selalu di library untuk garab idea buat research tu boleh buat jiwa jadi kacau. mat spec siap pakai spek bingkai tebal mesti ada. tapi, aku syukur, sebab sorang-sorang gini buat aku muhabasah banyak. otak boleh jalan lagi laju drp mulut compared to normal situation. so puaka yang baik laa kata orang. yang macam dalam ahmad albab. kehkeh.

6) Irsyad makin besar oii. korang tahu tak ada anak ni seronok. Bukan setakat seronok. dua ronok, tiga ronok dan beronok-ronok lagi. time ko balik pasal hasil penat lelah supervisor ko pandang serong, ko balik ko boleh tengok anak ko senyum, - fuuhhhh - dia punye feeling lain macam sikit aa. lebih kurang tahap 'aku dibius cinta' tp versi upgrade. tapi seronok tu akan jadi anti-klimak sket bila dia berak. haa tapi jangan salah faham. lepas dah basuh letak bedak sampai atas kepala, seronok tu macam mencanak naik balik laa. so hipotesis untuk kajian ni adalah, semakin berak, semakin seronok. gulp. finding dia nanti aku cerita lain.

7) ok dah tu kot, sory atas typo, serius otak aku penat. aku nak tido. tapi agak tak sopan laa kan ko nak tido kat library. oh? pasal krisis PAS? malas nak ulas bro. aku tak suka part gaduh. so biasanya aku skip. tulisan yang tambah rencah gaduh, aku baca, aku delete. if perlu forward untuk diskusi tertutup, aku forward. utk jadi kera sumbang mmg bukan jadi pilihan, so aku hadkan perkongsian apa yg aku tahu, apa yang aku rasa, dan apa yang aku risau untuk jad ekslusif. Gila apa - kawan-kawan ko bergaduh pastu ko beria nak jadi batu api nak buat apa? duduk diam, tengok, fikir dan jadi pendamai laaa bagi aku adalah lebih baik.

8) Doakan aku kuat.

 *rusukiri dengan botak dlm juvana*
*vitamin penyakit malas, perasan power*
*tidak dijual di Watson, Guardian atau farmasi berhampiran*


IzzatGhazali,
10Sep14.
National Library. 

 

Tuesday, August 19, 2014

bertekad. dan berlari.

Dengan namaMu Allah.

Dalam perjalanan ini, akan tiba satu waktu.
Kau pasti akan ketemu, jalan buntu. 
Tidak boleh ke depan lagi. 
Sama ada ke kanan, atau ke kiri.
Memilih adalah kemestian. Salah satu - antara dua.
Kerana berpatah pulang bukan jawapan.

Sejauh mata memandang, jalan kiri kanan hanya serupa.
Namun di penghujung keduanya, natijahnya dirasa berbeza.
Kau tidak tahu bila destinasi perjalanan ini ditemu.
Kerana ke mana kau pergi pun kau sendiri ragu.

Cukupkah sekadar kau berdiri disitu - kaku.
Berhenti itu perlu, cuma jangan kerananya kau makin keliru.
Takut dengan apa yang kau tuju, 
Bimbang dengan kesudahan yang tidak tahu.

Teruslah melangkah. Berlarilah jangan jemu.
Tempat mu bukan di persimpangan itu.
Pilihlah, jangan terus tertunggu.
Percayalah - Allah bersamamu.


abu irsyad.
19ogos14 
baitul izzah.

Wednesday, July 24, 2013

www.tudungnur.com : Ceritaku dan Tudung Bidang 60


Sebelum huruf-huruf ini bercerita ---


SUBHANALLAH, ALHAMDULILLAH, ALLAHUAKBAR.
Segala puja dan puji hanyalah selayaknya dikembalikan kepada Dia ; Pemilik Setiap Sesuatu.
Tanpa lupa, selawat dan salam ke atas junjungan mulia RASULULLAH S.A.W, yang sepatutnya menjadi hero sebenar di teratak hati kita semua.

***

Saya dibesarkan dalam keluarga yang sederhana, bersekolah di sekolah sederhana, hidup dalam kejiranan yang sederhana. Penekanan tentang bertudung labuh sungguh lemah, keistimewaan berhijab sempurna tidak diletakkan pada skala penting pada persekitan saya. Namun, hebatnya nukilan takdir Allah, menetapkan bumi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai tempat persinggahan saya dalam melengkapkan fasa sebuah kehidupan seorang hamba. 

Suatu waktu di masa lalu, masih segar di ingatan ini, semasa bebola mata tertangkap satu perkongsian bergambar pada sebuah poster program, tertera seuntai kata mengusik sekujur jasad saya ; “Tudung bukan perhiasan untuk menjadi perhatian.” Serentak fikiran menjurus kepada ayat Quran, yang sebetulnya sudah diketahui sekian lama, namun penghayatan tidak meresap turun ke dalam dada.

“...hendaklah mereka melabuhkan tudung (selendang) mereka ke leher dan dada mereka...”
(Surah An-Nur: 31)

***

Setinggi pujian hanya milik Allah ; ALHAMDULILLAH ---

Bi’ah solehah di bumi Allah tempat saya menumpang teduh ini sedikit sebanyak membantu saya menjadi muslimah yang lebih baik. Dikelilingi oleh sahabat-sahabat bertudung sempurna menggamit perasaan malu dalam diri. Malu bukan kerana mereka begitu. Tapi malu kerana kita begini.   

Sedikit usaha untuk berubah. Kalau bukan kerana sedikit ini, masakan yang banyak akan datang bukan?

BISMILLAH. Dengan nama-Mu wahai Allah. ---

“Angah dah pakai tudung besar eh?” tanya teman sebilik. 

“Aircond kelas kita ni sejuk sangat ke angah?” soal classmate. 

Takut dgn simptom ‘hipokrit’, seraya senyum saya menjawab; “Hehe, baru nak belajar-belajar pakai je ni.”

----

Sungguh, dengan iman senipis kulit bawang, ketakutan akan gagal mendisiplinkan diri dalam memakai tudung besar bidang 60 ini sungguh menebal dalam diri. Mampukah hati ini istiqamah dengan langkah kecil ini? Mampukah gelojak penerimaan manusia diredhakan selemah iman dalam diri?

Sebelum membeli sendiri tudung besar bidang 60, meminjam tudung labuh seorang kawan menjadi kelaziman saya. Mulanya, tudung dipinjam kerana ‘matching’ dengan baju yang saya pakai. Hari ini pinjam tudung, esok pakai selendang balik. Lusa pinjam lagi. Sehinggalah, saya berasa selamat memakai tudung besar ini. Tenang dan tenteram. Dengan frasa lebih tepat ; terpelihara, sesuai dengan nama yang diberi abah untuk puteri tunggalnya, Iffah.

Mengapa terpelihara? Kerana bila tudung labuh ini disarung ke tubuh, akal datang lebih awal daripada emosi. Pujangga ‘berfikir sebelum bertindak’ lebih memberi makna. Takut, dengan imej bertudung labuh ini bakal memberikan persepsi buruk untuk sekalian pemakai yang lain. Malu, dengan tanggapan negatif terhadap penglibatan yang tidak perlu, berlebihan.
Tudung yang melabuh ini hadir sebagai pelindung, untuk menghindari maksiat. Tudung yang melabuh ini datang bersama pakej selamat tatkala muamalat tercetus, agar ikhtilat lebih terjaga.

Andai setiap batang pokok ditebang untuk dijadikan pena. Dan seluruh tujuh lautan sebagai dakwatnya. Nescaya ; itu tidak cukup dan tidak akan cukup. Untuk menulis setiap nikmat kurniaan Illahi. ALHAMDULILLAH ---

Fasa hidup baru, kini bergelar seorang zaujah buat seorang imam yang disayangi kerana Allah. Diijabkabul sewaktu masing-masing masih bergelar penuntut. Dan untuk mengisi masa lapang sekali gus mengukuhkan ekonomi rumahtangga, kami bekerja sewaktu cuti antara semester. Saya bergelar guru di sebuah tadika Islam untuk sekumpulan kanak-kanak comel dan suami tersayang bekerja di sebuah firma guaman.

Dan lagi, Allah memudahkan perjalanan saya berlari kepada redhaNya dengan menemukan saya kepada seorang insan. Sebelum kembali meneruskan pengajian di universiti, beliau yang turut mengajar di situ, menghadiahkan sehelai tudung bundar berwarna pink. Warna lembut yang memukau. Secara rasminya, tudung pertama milik saya sendiri. Beliau menghulurkan beg kertas itu bersama-sama seuntai kata yang kemas dalam lipatan hati saya ; biar suami bertambah sayang.

Pulang ke rumah, saya menyarungkan tudung bundar pink itu ke wajah saya. Bersama muka comel yang dibuat, saya tunjukkan kepada encik suami. Ya Allah, dia tersenyum bangga! Sungguh, senyuman yang menyenangkan. Bukankah indah memakai pakaian yang disukai ALLAH, dan membahagiakan suami? IN SHAA ALLAH, berganda-ganda pahala. Encik suami pernah cakap suatu ketika dahulu, menjadi impiannya melihat saya bertudung sebegitu. Dengan pemakaian tudung yang labuh, akhlak kita akan turut terjaga.  Apatah lagi, keperibadian seorang isteri adalah cerminan buat seorang suami.

IN SHAA ALLAH, melalui pemakaian yang dijaga, aurat ditutup sempurna, akhlak isteri terpelihara, keperibadian suami dipandang mulia, sama-sama beroleh pahala.




Suatu petang, sewaktu beriadah dengan kawan-kawan, kami disapa oleh seorang kawan yang baru sahaja pulang dari membeli kain bercorak bunga untuk dijadikan tudung. “SUBHANALLAH, cantik!” getus hati saya apabila melihat kain yang dibeli. Ingin tahu, saya bertanya di mana tudung itu boleh didapati. Beliau tanpa lokek, memperkenalkan saya laman sesawang tudungnur.com.

Esoknya, saya memberitahu encik suami, lokasi kedai i-Nur Muslim Fashion Gombak setelah mendapatkannya dari laman sesawang. Tanda menyokong hasrat isterinya bertudung sempurna, Encik Suami membawa saya ke kedai i-Nur Muslim Fashion Gombak buat pertama kali. Dengan lokasi yang strategik, saya tidak hairan kedai ini acapkali dipenuhi para pelanggan. Setelah meluangkan masa memilih, ALHAMDULILLAH, tudung kasturi berwarna oren dari kedai ini menjadi hadiah bermakna dari suami untuk saya.  

Tudung-tudung bundar yang dipamerkan di kedai ini memberi penampilan yang baik kepada saya. Kini, dengan bertudung pun boleh kita boleh bergaya. Yang penting, bergaya cara ISLAM. Tidak jarang-- Boleh dipakai untuk sembahyang-- Menutupi dada-- Tak berlebih-lebihan dalam bergaya.—

Moga-moga kehadiran ke kedai i-Nur Muslim Fashion Gombak  untuk mencari tudung yang DIA suka, menjadikan asbab Allah memberikan ‘Nur’ juga di wajah kita.

Buat semua yang telah,
Didoakan kita istiqamah menutup aurat dengan sempurna, wahai muslimah-muslimah yang disayangi kerana YANG MAHA PENYAYANG. Set niat, pakai tudung besar,labuh,bundar  sebab ALLAH. IN SHAA ALLAH, usaha yang sedikit mendapat tempat pada pandangan rahmat Allah. Selamat menjadi sebutir mutiara yang menjaga dirinya dalam tiram. Kerana dia tahu dirinya begitu berharga, jadi berusaha memelihara adalah tanggungjawabnya.

Buat semua yang akan,
Semoga coretan murahan ini mampu menggamit hidayah Allah datang bertandang. Agar disuburkan rasa untuk berubah. Berjuanglah sahabatku. Semoga RAMADHAN yang menjengah ini menjadi “turning point” untuk kita lebih mencari dan mencintai DIA dan seterusnya menjadikan kita seorang muslimah, yang bernilai solehah.



Semoga penulisan membuah redha. 
Wallahua’lam.  

Friday, July 19, 2013

Tersebutlah Kisah Sebuah Hikayat


al-kisah tersebut kisah dua buah sekolah yang berada dalam satu kawasan. disebut SK Pasir Dua Butir (SKPDB) dan SK Pasir Berdengung (SKPB) lah adanya.

sayugia pada plot permulaan, kedua-dua sekolah ini pada mulanya hidup rukun damai, aman sentosa dalam melahirkan generasi yang mapan dan berdaya fikiran tinggi untuk meneruskan legasi kehebatan daerah itu di persada negara.
---
dan tidaklah cerita ini diriwayatkan jika tidak ada konflik. plot kisah ini berkembang apabila kebodohan seorang guru SKPDB secara ketara terserlah dengan mengugut untuk membakar majalah sekolah SKPB disebabkan warga SKPB tidak memilih wakil SKPDB untuk menjadi juri musabaqah. Lantas, PIBG SKPB lantas menggesa tindakan diambil oleh Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) terhadap guru tersebut.

Namun, disebabkan kebanyakan pegawai pendidikan merupakan guru-guru yang dinaikkan pangkat daripada SKPDB, tiada tindakan diambil. cerita didiamkan. walaupun demikian, menurut riwayat ini, marah warga SKPB mula mengakar dalam nurani mereka.
---
Beberapa purnama berlalu. Sempena Hari Sukan SKPDB, semua pelajar dan guru SKPDB diwajibkan untuk memakai seluar yoga sempena memperingati sejarah penubuhan sekolah tersebut. disebutkan dalam kitab kuning, pengasas sekolah tersebut merupakan penggemar seluar yoga sewaktu jogging. salah seorang pelajar SKPB secara bodoh telah memuat-naik gambar di Friendster. gambar dia berseluar trek panjang dengan caption, 'Selamat Memakai Seluar Yoga, bro!'. Disebabkan friendlist pelajar itu bukan-lah daripada kalangan SKPB semata, malah turut di-approve-nya friend request daripada SKPDB, maka gambar ini tersebar kepada seluruh lapisan masyarakat marhaen di perkampungan itu.

Gegak-gempita seluruh warga SKPDB mengutuk tindakan pelajar tersebut kerana disifatkan telah menghina prestij Hari Sukan SKPDB dengan tindakan pemuat-naikan tersebut. PPD secara steady mengeluarkan pekeliling untuk menggantung lesen perguruan guru tersebut, menfailkan saman writ sitaan terhadap rumahnya, dan menyimbah air sirap laicikang ke tingkap kereta pelajar yang belum cukup akal itu. semuanya dengan alasan, perbuatan guru SKPB tersebut telah mencemar kedaulatan dan ke-gah-an nama baik SKPDB.
---
Ironinya ialah, tiada tindakan diambil untuk para pelajar SKPDB yang kerapkali ponteng sekolah dengan lencana sekolah tertera di seragam mereka. tiada tindakan diambil kepada pelajar yang secara bebas menghisap rokok di belakang bengkel Kemahiran Hidup selepas makan di waktu rehat. tiada usaha mencegah mahupun membanteras gejala buli budak, bergaduh dan sewaktu dengan-nya.

Apa yang mengundang polemik adalah :

1) di mana integriti PPD dalam menjaga nama baik sekolah? unsur memihak yang ketara, dijangka mampu menyemai persaingan yang tidak sihat kepada dua buah sekolah tersebut. jika tindakan diambil kepada warga SKPB yang menjatuhkan nama baik SKPDB, mengapa tiada tindakan setara diambil kepada warga SKPDB terhadap perlakuan menghina majalah sekolah SKPB sedangkan majalah sekolah merupakan imej sekolah?

2) sejauhmana warga SKPDB serius dalam usaha menjaga nama baik seterusnya mengangkat martabat SKPDB ke arena MSSM? serius menggunakan kabel PPD menghukum terhadap warga luar yang mencemarkan sahaja? di mana serius itu hilang untuk membanteras gejala pencabulan institusi SKPDB dalam kalangan warga SKPDB sendiri?

dan kemelut dua sekolah ini berakhir dengan anak pengetua masing selamat diijabkabulkan 12 hari lalu dengan kurniaan 5 cahaya mata. demikianlah adanya sebuah kisah untuk merehatkan minda anda sementara menyambung bacaan Quran di Surah Yunus untuk menghabiskan juzu' hari ini.
----
p/s : sumpah pegang bahu tiga kali, hasil tulisan ini tidak ada kena mengena dengan apa-apa, mana-mana, atau siapa-siapa. ia hanyalah ruang untuk aku membuat status semata-mata, sekadar menceritakan perihal dua buah sekolah, dasawarsa yang lalu.

Izzat Ghazali.
bukan-siapa-siapa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...