insyaAllah. bersama kita berkongsi ilmu ;)

Wednesday, September 10, 2014

Artikel Tanpa Tajuk 1.0

Bismillah.

Saja aku nak menulis - sebab orang kata kalau time otak kau dah jammed, jangan dok paksa sangat. Aku pun sebenarnya tak tahu pun nak menulis pasal apa. So, aku tulis je lah apa yang terlintas kat kepala ya?

1) Bercakap dengan diri. Before tidur malam-malam, otak kena ajar train dah nak buat apa - senang nanti ko nak schedule siap-siap, mindset yang badan maybe akan rasa letih lagi drp biasa, or akan rasa gabra sebab esok ada present proposal or apa-apa. Sebenarnya kita dah buat mende ni tanpa kita sedar - by cakap dalam hati - tapi aku suggest, kita try untuk buat adat istiadat ni macam rasmi sket - duduk elokelok - tarik nafas panjang - bercakap dengan mulut sendiri - untuk didengar telinga sendiri. Secara tak langsung, kita akan lagi fokus sikit, compare dgn ko sembang dalam kepala je.

2) Baca dan fikir. Tahukah anda membaca itu penat? dan bidang yang aku pilih ni memang gasak habis - kena baca, kena baca. Thats why aku rasa bengang sikit dgn kawan-kawna yang konon nampak intelek sembang kemah tapi malas membaca. Dengar drp orang, then dia makap sikit, dah boleh dah buat slot penerangan. Betul - part semua orang berbeza dia punya kemahiran - ada yang cara dia memang mendengar je, ada yang jenis visual dll - tapi still alasan malas untuk membaca ni tetap takleh terima. lebih menambah amarah, buat yang jenis masa beli buku - perghhhhhh -tapi membaca ntah kemana. konon nak bagi nampak educated laa, tp kukatakan bye2. tambah laa bahan bacaan yang sekangkang nyamuk tu. buat malu orang laa weh.

3) Menconteng asas percambahan idea. mak aku dulu ada tabiat rare. boleh rujuk post blog aku yang sudah-sudah - yakni ; beliau suka menconteng. dan secara genetik, tabiat ni turun kat aku. aku boleh masa tengah interview orang, aku siap tulis list untuk beli barang dapur. aku penah conteng borang JPN nak daftar nama Irsyad berkenaan pecahan duit gaji pasal lambat sangat nak tunggu turn nombor kena panggil. masalah aku adalah, kertas tu akan hilang. dan hilangnya biasa tidak muncul kembali. yang bagusnya, aku akan conteng lagi, so contengan yang kedua ni adalah improvisasi drp contengan awal. cuba ko bayang kalau dah 16 kali hilang? confirm rusukkiri sound laa. huhu.

4) Pengaruh media sosial. dalm hidup hari ini, media sosial dah jadi macam nyawa, aku rasa kalau aku uninstall wassap, fb, twitter, hangout, telegram, line (saje list banyak nak suruh nampak power), confirm aku boleh update odoj tetiap hari. ni ada hari beria boleh henjut habis - ada hari rebah tak bermaya nak dapat 5 muka kira sujud syukur. dan kenapa aku x uninstall je terus? sebab media sosial ni penting. macam aku nak tahu update progress kerja kalau wassap takde? macamana aku nak tahu ada sanak saudara sakit tenat, masuk hospital, meninggal semua kalau unistall wassap? (Alfatihah untuk PakDaud tokcikNoh) ... Membuktikan media sosial ni perlu ada - cuma pengehadan (gulp. ada ke perkataan ni?) dia berkadar terus dengan disiplin diri. 

5) Library ni tempat puaka. aku lahir dlm keadaan bising (sebab nangis. kot?), membesar dgn adik beradik yg penuh rumah, berkawan dgn budakbudak yang happening, roomate aku beranak dalam bilik karaoke. Dan keberadaan selalu di library untuk garab idea buat research tu boleh buat jiwa jadi kacau. mat spec siap pakai spek bingkai tebal mesti ada. tapi, aku syukur, sebab sorang-sorang gini buat aku muhabasah banyak. otak boleh jalan lagi laju drp mulut compared to normal situation. so puaka yang baik laa kata orang. yang macam dalam ahmad albab. kehkeh.

6) Irsyad makin besar oii. korang tahu tak ada anak ni seronok. Bukan setakat seronok. dua ronok, tiga ronok dan beronok-ronok lagi. time ko balik pasal hasil penat lelah supervisor ko pandang serong, ko balik ko boleh tengok anak ko senyum, - fuuhhhh - dia punye feeling lain macam sikit aa. lebih kurang tahap 'aku dibius cinta' tp versi upgrade. tapi seronok tu akan jadi anti-klimak sket bila dia berak. haa tapi jangan salah faham. lepas dah basuh letak bedak sampai atas kepala, seronok tu macam mencanak naik balik laa. so hipotesis untuk kajian ni adalah, semakin berak, semakin seronok. gulp. finding dia nanti aku cerita lain.

7) ok dah tu kot, sory atas typo, serius otak aku penat. aku nak tido. tapi agak tak sopan laa kan ko nak tido kat library. oh? pasal krisis PAS? malas nak ulas bro. aku tak suka part gaduh. so biasanya aku skip. tulisan yang tambah rencah gaduh, aku baca, aku delete. if perlu forward untuk diskusi tertutup, aku forward. utk jadi kera sumbang mmg bukan jadi pilihan, so aku hadkan perkongsian apa yg aku tahu, apa yang aku rasa, dan apa yang aku risau untuk jad ekslusif. Gila apa - kawan-kawan ko bergaduh pastu ko beria nak jadi batu api nak buat apa? duduk diam, tengok, fikir dan jadi pendamai laaa bagi aku adalah lebih baik.

8) Doakan aku kuat.

 *rusukiri dengan botak dlm juvana*
*vitamin penyakit malas, perasan power*
*tidak dijual di Watson, Guardian atau farmasi berhampiran*


IzzatGhazali,
10Sep14.
National Library. 

 

Tuesday, August 19, 2014

bertekad. dan berlari.

Dengan namaMu Allah.

Dalam perjalanan ini, akan tiba satu waktu.
Kau pasti akan ketemu, jalan buntu. 
Tidak boleh ke depan lagi. 
Sama ada ke kanan, atau ke kiri.
Memilih adalah kemestian. Salah satu - antara dua.
Kerana berpatah pulang bukan jawapan.

Sejauh mata memandang, jalan kiri kanan hanya serupa.
Namun di penghujung keduanya, natijahnya dirasa berbeza.
Kau tidak tahu bila destinasi perjalanan ini ditemu.
Kerana ke mana kau pergi pun kau sendiri ragu.

Cukupkah sekadar kau berdiri disitu - kaku.
Berhenti itu perlu, cuma jangan kerananya kau makin keliru.
Takut dengan apa yang kau tuju, 
Bimbang dengan kesudahan yang tidak tahu.

Teruslah melangkah. Berlarilah jangan jemu.
Tempat mu bukan di persimpangan itu.
Pilihlah, jangan terus tertunggu.
Percayalah - Allah bersamamu.


abu irsyad.
19ogos14 
baitul izzah.

Wednesday, July 24, 2013

www.tudungnur.com : Ceritaku dan Tudung Bidang 60


Sebelum huruf-huruf ini bercerita ---


SUBHANALLAH, ALHAMDULILLAH, ALLAHUAKBAR.
Segala puja dan puji hanyalah selayaknya dikembalikan kepada Dia ; Pemilik Setiap Sesuatu.
Tanpa lupa, selawat dan salam ke atas junjungan mulia RASULULLAH S.A.W, yang sepatutnya menjadi hero sebenar di teratak hati kita semua.

***

Saya dibesarkan dalam keluarga yang sederhana, bersekolah di sekolah sederhana, hidup dalam kejiranan yang sederhana. Penekanan tentang bertudung labuh sungguh lemah, keistimewaan berhijab sempurna tidak diletakkan pada skala penting pada persekitan saya. Namun, hebatnya nukilan takdir Allah, menetapkan bumi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai tempat persinggahan saya dalam melengkapkan fasa sebuah kehidupan seorang hamba. 

Suatu waktu di masa lalu, masih segar di ingatan ini, semasa bebola mata tertangkap satu perkongsian bergambar pada sebuah poster program, tertera seuntai kata mengusik sekujur jasad saya ; Tudung bukan perhiasan untuk menjadi perhatian.” Serentak fikiran menjurus kepada ayat Quran, yang sebetulnya sudah diketahui sekian lama, namun penghayatan tidak meresap turun ke dalam dada.

“...hendaklah mereka melabuhkan tudung (selendang) mereka ke leher dan dada mereka...”
(Surah An-Nur: 31)

***

Setinggi pujian hanya milik Allah ; ALHAMDULILLAH ---

Bi’ah solehah di bumi Allah tempat saya menumpang teduh ini sedikit sebanyak membantu saya menjadi muslimah yang lebih baik. Dikelilingi oleh sahabat-sahabat bertudung sempurna menggamit perasaan malu dalam diri. Malu bukan kerana mereka begitu. Tapi malu kerana kita begini.   

Sedikit usaha untuk berubah. Kalau bukan kerana sedikit ini, masakan yang banyak akan datang bukan?

BISMILLAH. Dengan nama-Mu wahai Allah. ---

“Angah dah pakai tudung besar eh?” tanya teman sebilik. 

“Aircond kelas kita ni sejuk sangat ke angah?” soal classmate. 

Takut dgn simptom ‘hipokrit’, seraya senyum saya menjawab; “Hehe, baru nak belajar-belajar pakai je ni.”

----

Sungguh, dengan iman senipis kulit bawang, ketakutan akan gagal mendisiplinkan diri dalam memakai tudung besar bidang 60 ini sungguh menebal dalam diri. Mampukah hati ini istiqamah dengan langkah kecil ini? Mampukah gelojak penerimaan manusia diredhakan selemah iman dalam diri?

Sebelum membeli sendiri tudung besar bidang 60, meminjam tudung labuh seorang kawan menjadi kelaziman saya. Mulanya, tudung dipinjam kerana ‘matching’ dengan baju yang saya pakai. Hari ini pinjam tudung, esok pakai selendang balik. Lusa pinjam lagi. Sehinggalah, saya berasa selamat memakai tudung besar ini. Tenang dan tenteram. Dengan frasa lebih tepat ; terpelihara, sesuai dengan nama yang diberi abah untuk puteri tunggalnya, Iffah.

Mengapa terpelihara? Kerana bila tudung labuh ini disarung ke tubuh, akal datang lebih awal daripada emosi. Pujangga ‘berfikir sebelum bertindak’ lebih memberi makna. Takut, dengan imej bertudung labuh ini bakal memberikan persepsi buruk untuk sekalian pemakai yang lain. Malu, dengan tanggapan negatif terhadap penglibatan yang tidak perlu, berlebihan.
Tudung yang melabuh ini hadir sebagai pelindung, untuk menghindari maksiat. Tudung yang melabuh ini datang bersama pakej selamat tatkala muamalat tercetus, agar ikhtilat lebih terjaga.

Andai setiap batang pokok ditebang untuk dijadikan pena. Dan seluruh tujuh lautan sebagai dakwatnya. Nescaya ; itu tidak cukup dan tidak akan cukup. Untuk menulis setiap nikmat kurniaan Illahi. ALHAMDULILLAH ---

Fasa hidup baru, kini bergelar seorang zaujah buat seorang imam yang disayangi kerana Allah. Diijabkabul sewaktu masing-masing masih bergelar penuntut. Dan untuk mengisi masa lapang sekali gus mengukuhkan ekonomi rumahtangga, kami bekerja sewaktu cuti antara semester. Saya bergelar guru di sebuah tadika Islam untuk sekumpulan kanak-kanak comel dan suami tersayang bekerja di sebuah firma guaman.

Dan lagi, Allah memudahkan perjalanan saya berlari kepada redhaNya dengan menemukan saya kepada seorang insan. Sebelum kembali meneruskan pengajian di universiti, beliau yang turut mengajar di situ, menghadiahkan sehelai tudung bundar berwarna pink. Warna lembut yang memukau. Secara rasminya, tudung pertama milik saya sendiri. Beliau menghulurkan beg kertas itu bersama-sama seuntai kata yang kemas dalam lipatan hati saya ; biar suami bertambah sayang.

Pulang ke rumah, saya menyarungkan tudung bundar pink itu ke wajah saya. Bersama muka comel yang dibuat, saya tunjukkan kepada encik suami. Ya Allah, dia tersenyum bangga! Sungguh, senyuman yang menyenangkan. Bukankah indah memakai pakaian yang disukai ALLAH, dan membahagiakan suami? IN SHAA ALLAH, berganda-ganda pahala. Encik suami pernah cakap suatu ketika dahulu, menjadi impiannya melihat saya bertudung sebegitu. Dengan pemakaian tudung yang labuh, akhlak kita akan turut terjaga.  Apatah lagi, keperibadian seorang isteri adalah cerminan buat seorang suami.

IN SHAA ALLAH, melalui pemakaian yang dijaga, aurat ditutup sempurna, akhlak isteri terpelihara, keperibadian suami dipandang mulia, sama-sama beroleh pahala.




Suatu petang, sewaktu beriadah dengan kawan-kawan, kami disapa oleh seorang kawan yang baru sahaja pulang dari membeli kain bercorak bunga untuk dijadikan tudung. “SUBHANALLAH, cantik!” getus hati saya apabila melihat kain yang dibeli. Ingin tahu, saya bertanya di mana tudung itu boleh didapati. Beliau tanpa lokek, memperkenalkan saya laman sesawang tudungnur.com.

Esoknya, saya memberitahu encik suami, lokasi kedai i-Nur Muslim Fashion Gombak setelah mendapatkannya dari laman sesawang. Tanda menyokong hasrat isterinya bertudung sempurna, Encik Suami membawa saya ke kedai i-Nur Muslim Fashion Gombak buat pertama kali. Dengan lokasi yang strategik, saya tidak hairan kedai ini acapkali dipenuhi para pelanggan. Setelah meluangkan masa memilih, ALHAMDULILLAH, tudung kasturi berwarna oren dari kedai ini menjadi hadiah bermakna dari suami untuk saya.  

Tudung-tudung bundar yang dipamerkan di kedai ini memberi penampilan yang baik kepada saya. Kini, dengan bertudung pun boleh kita boleh bergaya. Yang penting, bergaya cara ISLAM. Tidak jarang-- Boleh dipakai untuk sembahyang-- Menutupi dada-- Tak berlebih-lebihan dalam bergaya.—

Moga-moga kehadiran ke kedai i-Nur Muslim Fashion Gombak  untuk mencari tudung yang DIA suka, menjadikan asbab Allah memberikan ‘Nur’ juga di wajah kita.

Buat semua yang telah,
Didoakan kita istiqamah menutup aurat dengan sempurna, wahai muslimah-muslimah yang disayangi kerana YANG MAHA PENYAYANG. Set niat, pakai tudung besar,labuh,bundar  sebab ALLAH. IN SHAA ALLAH, usaha yang sedikit mendapat tempat pada pandangan rahmat Allah. Selamat menjadi sebutir mutiara yang menjaga dirinya dalam tiram. Kerana dia tahu dirinya begitu berharga, jadi berusaha memelihara adalah tanggungjawabnya.

Buat semua yang akan,
Semoga coretan murahan ini mampu menggamit hidayah Allah datang bertandang. Agar disuburkan rasa untuk berubah. Berjuanglah sahabatku. Semoga RAMADHAN yang menjengah ini menjadi “turning point” untuk kita lebih mencari dan mencintai DIA dan seterusnya menjadikan kita seorang muslimah, yang bernilai solehah.



Semoga penulisan membuah redha. 
Wallahua’lam.  

Friday, July 19, 2013

Tersebutlah Kisah Sebuah Hikayat


al-kisah tersebut kisah dua buah sekolah yang berada dalam satu kawasan. disebut SK Pasir Dua Butir (SKPDB) dan SK Pasir Berdengung (SKPB) lah adanya.

sayugia pada plot permulaan, kedua-dua sekolah ini pada mulanya hidup rukun damai, aman sentosa dalam melahirkan generasi yang mapan dan berdaya fikiran tinggi untuk meneruskan legasi kehebatan daerah itu di persada negara.
---
dan tidaklah cerita ini diriwayatkan jika tidak ada konflik. plot kisah ini berkembang apabila kebodohan seorang guru SKPDB secara ketara terserlah dengan mengugut untuk membakar majalah sekolah SKPB disebabkan warga SKPB tidak memilih wakil SKPDB untuk menjadi juri musabaqah. Lantas, PIBG SKPB lantas menggesa tindakan diambil oleh Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) terhadap guru tersebut.

Namun, disebabkan kebanyakan pegawai pendidikan merupakan guru-guru yang dinaikkan pangkat daripada SKPDB, tiada tindakan diambil. cerita didiamkan. walaupun demikian, menurut riwayat ini, marah warga SKPB mula mengakar dalam nurani mereka.
---
Beberapa purnama berlalu. Sempena Hari Sukan SKPDB, semua pelajar dan guru SKPDB diwajibkan untuk memakai seluar yoga sempena memperingati sejarah penubuhan sekolah tersebut. disebutkan dalam kitab kuning, pengasas sekolah tersebut merupakan penggemar seluar yoga sewaktu jogging. salah seorang pelajar SKPB secara bodoh telah memuat-naik gambar di Friendster. gambar dia berseluar trek panjang dengan caption, 'Selamat Memakai Seluar Yoga, bro!'. Disebabkan friendlist pelajar itu bukan-lah daripada kalangan SKPB semata, malah turut di-approve-nya friend request daripada SKPDB, maka gambar ini tersebar kepada seluruh lapisan masyarakat marhaen di perkampungan itu.

Gegak-gempita seluruh warga SKPDB mengutuk tindakan pelajar tersebut kerana disifatkan telah menghina prestij Hari Sukan SKPDB dengan tindakan pemuat-naikan tersebut. PPD secara steady mengeluarkan pekeliling untuk menggantung lesen perguruan guru tersebut, menfailkan saman writ sitaan terhadap rumahnya, dan menyimbah air sirap laicikang ke tingkap kereta pelajar yang belum cukup akal itu. semuanya dengan alasan, perbuatan guru SKPB tersebut telah mencemar kedaulatan dan ke-gah-an nama baik SKPDB.
---
Ironinya ialah, tiada tindakan diambil untuk para pelajar SKPDB yang kerapkali ponteng sekolah dengan lencana sekolah tertera di seragam mereka. tiada tindakan diambil kepada pelajar yang secara bebas menghisap rokok di belakang bengkel Kemahiran Hidup selepas makan di waktu rehat. tiada usaha mencegah mahupun membanteras gejala buli budak, bergaduh dan sewaktu dengan-nya.

Apa yang mengundang polemik adalah :

1) di mana integriti PPD dalam menjaga nama baik sekolah? unsur memihak yang ketara, dijangka mampu menyemai persaingan yang tidak sihat kepada dua buah sekolah tersebut. jika tindakan diambil kepada warga SKPB yang menjatuhkan nama baik SKPDB, mengapa tiada tindakan setara diambil kepada warga SKPDB terhadap perlakuan menghina majalah sekolah SKPB sedangkan majalah sekolah merupakan imej sekolah?

2) sejauhmana warga SKPDB serius dalam usaha menjaga nama baik seterusnya mengangkat martabat SKPDB ke arena MSSM? serius menggunakan kabel PPD menghukum terhadap warga luar yang mencemarkan sahaja? di mana serius itu hilang untuk membanteras gejala pencabulan institusi SKPDB dalam kalangan warga SKPDB sendiri?

dan kemelut dua sekolah ini berakhir dengan anak pengetua masing selamat diijabkabulkan 12 hari lalu dengan kurniaan 5 cahaya mata. demikianlah adanya sebuah kisah untuk merehatkan minda anda sementara menyambung bacaan Quran di Surah Yunus untuk menghabiskan juzu' hari ini.
----
p/s : sumpah pegang bahu tiga kali, hasil tulisan ini tidak ada kena mengena dengan apa-apa, mana-mana, atau siapa-siapa. ia hanyalah ruang untuk aku membuat status semata-mata, sekadar menceritakan perihal dua buah sekolah, dasawarsa yang lalu.

Izzat Ghazali.
bukan-siapa-siapa.

Saturday, May 11, 2013

bersyukurlah kepada Ahmad Said



Kehadapan MB,


Kami warga pengundi N25 Bukit Besi meyokong penuh usaha MB Terengganu, DS Ahmad Said yang tidak menyenaraikan kawasan2 BN kalah dalam projek perumahan rakyat sepertimana dirakam dalam sidang media selaku MB. ehem. DS sungguh kacak dengan gaya bahasa yang sungguh lunak by-the-way. 

Sewajarnya usaha ini mendapat dokongan segenap penyokong BN di seluruh Terengganu, termasuklah DUN yang kalah supaya sedar dan insaf supaya dalam PRU14 mereka berusaha dengan lebih gigih untuk bagi memenangkan BN di tempat tersebut. Ini merupakan satu proses tamrin, agar ahli BN di DUN yang kalah mendapat pengajaran. Benar sungguh teori DS, orang yang kalah tidak wajar diberi muka. 

Jarang ada ahli BN yang berfikiran jauh seperti DS, sewajarnya pihak berwajib mengusahakan untuk ditubuhkan Institut Pemikir Ahmad Said (iPAS) bagi melahirkan lebih ramai orang yang berdaya-fikir tinggi seperti DS. Tidak-kah DS terlintas untuk membuat ujian IQ, manalah tahu mungkin DS sudah termasuk di kalangan ahli genius dunia setaraf dengan Stephen Hawking.

Begitupun Dato' Seri, bukankah di kawasan yang BN menang pun terdapat penyokong PAS? Sepaptutnya DS menyaring dengan sungguh2 agar orang PAS langsung tidak mendapat apa2 sepanjang pemerintahan legasi DS. Ini amat penting sementelah mereka bukan pengundi BN. dan pengundi PAS yang ramai inilah asbab kegagalan BN Terengganu mengekalkan 2/3 dewan.

Dalam pada itu, tidaklah kami terlupa untuk bersyukur kepada BN, kerana walaupun YB kami biasa-biasa sahaja, namun DS tetap memberikan beliau peluang untuk menjawat salah satu Exco Negeri. Ternyata, fitnah media alternatif yang menyifatkan DS tidak prihatin dan samseng adalah tidak berasas sama sekali.

Kami berazam dalam PRU14, kami akan menjadi key-player dan bukan lagi pemain import bagi memperhebatkan usaha bersama sekalian petugas Bukit Besi bagi menggiatkan dakyah betapa DS adalah MB yang terbaik untuk memenangkan PAS selepas ini.

Hidup 'Id !! Hidup 'Id !! Hidup 'Id !!

Sekian daripada saya.

Izzat Ghazali dan kawan-kawan.
Pengundi luar Kawasan.


Friday, February 15, 2013

Dear, this is LIFE

Bismillah alhamdulillah.

Jika anda merupakan peminat tegar drama, tak kira lah Korea, English hatta Melayu sekalipun, anda pasti bersetuju dengan saya betapa cara terbaik untuk menghayati jalan cerita tersebut adalah membayangkan watak utama drama tersebut sebagai anda.

Anda-lah hero kaya yang menjadi idaman gadis2 kaya, tetapi terpikat dengan hati seorang gadis biasa. Anda-lah heroin cute yang menjadi hamba dalam rumah sendiri kerana konflik dengan ibu tiri anda.

dan seperti biasa. hero/heroin akan beroleh bahagia di akhirnya.
akhirnya. semua orang lain silap. dan mintak maaf.
akhirnya. semua orang lain sedar. dan hormat anda.

dan sayang, hidup bukan drama. ---

semua orang rasa dia hero.
semua orang rasa dia heroin.

dan jangan harap aku nak mengalah.
macam biasa, emosi akan terkedepan.
kan aku tua. apasal aku nak mintak maaf?
kan aku x buat. apasal aku nak beralah?
kan aku x rasa apa2, apasal aku nak kena mengadap dia.

malulah kalian. ---

di saat di sana ada insan yang men'dewa'kan anda.
anda hina disebabkan tindakan sendiri.
di saat di sana ada orang yang menganggap anda qudwah.
anda hilang peluang raih saham ibadah.


tak guna jadi ustaz masuk TV pun, kalau dengan jiran pun boleh masam muka.
tak guna jadi naqibah pegang usrah pun, kalau dengan adik beradik tak reti nak masuk.
tak guna jadi presiden persatuan pun, kalau dengan housemate boleh bergaduh.

"sebab Allah nak tengok apa yang kita buat status kat FB, tweet kat twitter,
bagi nasihat kat orang lain, cerita kat kawan2 bulatan gembira, kita AMAL tak dalam
hidup seharian kita."

nah. ---

kena sebijik atas dahi.
terpanar. anda tak mahu sedar lagi?


"run from your problem is a race you'll never won"


irhamna yaAllah.  (T__T)

p/s : and dear, this is life. 

Wednesday, December 26, 2012

dua-puluh-empat tahun lamanya menyulam cinta.


Bismillahi Subhanallah wAlhamdulillah wAllahuakbar.

Tetiap kali datang. confirm kena bawak penyapu tinggi tu. haish. mintak sungguh2 sahabat2 labah-labah sekalian berpindah segera. mohon maaf atas arahan yang dibuat tanpa notis. saya sungguh menyesalinya namun apakan daya. tinggi harapan saya agar anda2 sekalian tidak lagi diberi peluang untuk merempat di sini selari dengan pertambahan graf kerajinan saya mengupdate. dah. cukup-lah intro ni kot?

Saya sebenarnya tidak terdesak sangat pun nak meneruskan perjalanan blog ni. sebab hidup terlalu istimewa utk dikongsi. ye dop? bukan ada cerita best sangat pun dalam diari hidup saya ni. namun, kadang2 apa yang kita rasa or kita tahu hari ini, boleh jadi pengajaran untuk orang lain hari esok. sekurang2nya, apa yang orang baca di sini, kalaupun tidak mendapat perkenan di hati tuan/puan sekalian, tetap saya lampirkan sebagai medan utk saya meninggalkan saham bila masa saat saya dipanggil mengadap nanti, tak ke? amin yaRabb.

Malam itu sepatutnya berlalu seperti selalu. saya tengah serabut mengejar dateline. kecuali-lah satu mesej masuk tertera, "salam along, esok abah and mak's 24th anniversary. apa plan?" saya agak tengah kusut, hanya membalas pendek, "Saya berada jauh di perantauan, mohon anda uruskan hal2 berkaitan." dan saya larut lagi dalam perlumbaan last minute seperti selalu. jauh di sudut hati, terbit rasa syukur dengan mesej yang hadir utk mengingatkan. kamu sungguh terbaik wahai adik. lima bintang


kebiasaan plot hidup, saya akan ada plan, baik secara amal fardhi, atau amal jamaie, untuk meraikan pasangan syurga ini. tapi disebabkan jauh di mata, terpisah dek jarak berjuta depa. alihan konsentrasi, penambahan tanggungjawab, perubahan ta'kulan tentang persepi selari dengan pertambahan usia, saya jadi lemas sendiri utk merancang 'sambutan' utk kali ini. senada saya beranggapan, mereka tahu yang saya selalu titipkan dlm setiap ungkapan doa saya, agar mereka senantiasa diberkati Illahi. namun saya silap. seperti saya dan anda semua. mereka juga manusia. yang seringkali lupa.

jadi, bersempena dgn sambutan jubli-ala2-perak ini, saya imbau semula,  dwi-cebisan peristiwa2 yg pada saya, akan sentiasa saya bawak sebagai bukti, pasangan syurga ini-lah yang menjadi pentarbiah kepada izzatghazali hari ini. pasangan syurga ini-lah yang menjadi pemandu jentera yang mengetuk tunjang besi pada bangunan bergelar izzatghazali. tapak asas binaan ini, arkitek dan juruteranya tidak lain dan tidak bukan adalah pasangan syurga ini. semoga Allah merahmati mereka. irhamhuma yaAllah.

1) Along cangkul paip PVC abah.
Masa saya kecik2 dulu, berbeza dgn budak2 millenia ini yang lebih cekap main AngryBird Space dekat GalaxyTab or gajet elektronik lain, saya suka tengok abah guna cangkul, parang dan gajet2 besi lain. kata orang, ilmu tanpa amal ibarat pokok tiada berbuah. tercabar drp itu, saya berazam utk mempraktikkan teori ini. kata orang lagi, malang itu tidak berbau. mata cangkul saya membaham sedikit paip sebelah rumah sewaktu cubaan menanam pokok bunga kertas melalui keratan batang. muka dah jadi biru. kaki ketar-ketar. frekuensi suara mak kedengaran jelas, "along, bakpe air slow ni?" bila mana saya cuba utk control the damage dengan menutup kod paip utama. sememangnya, saya adalah 'wanted' pertama bila ada dalang berlaku di rumah kerana waktu itu, angah (iffahghazali) belum cukup akal untuk merencana taktikal dan formasi sehebat saya.

bila abah balik. usaha utk cover line dengan buat dek sambil menuduh anak jiran sebelah buat onar kat rumah kita gagal dengan jayanya. sebab? belum apa2 lagi saya dh nangis dulu, sambil cakap kat abah, "along sa'lloh cangkul paip petang takdi. huwaaaaa," dgn penuh gentleman, abah kata, "takpelah. kekgi tengok abah bekki paip pulok.lain kali gi nyangkul belakang rumoh tu." dan sejak itu, saya menambah koleksi minat lain pulak. baiki paip tentunya. dan peristiwa pecahkan paip di rumah ini dah jadi rutin. sampailah alang (ikramghazali) lahir. lepas alang lahir, saya rasa kurang terbeban sikit, sebab tanggungjawab utk pecahkan paip telah diwarisi alang.

2) Mak, along nak gi lawatan ke Melaka boleh?
Masa ni saya darjah 3, or darjah 4. ntah saya pun dah lupa. tapi saya ingat saya kecik lagi lah. itu confirm. sekolah buat lawatan. untuk budak2 darjah 5 dan 6. tp ada cikgu baik hati (Cikgu  Rohana Abd Latif) merangkap coach bercerita kisah alQuran saya, offer kat saya, untuk join sekaki. balik dgn hati yang girang saya bagitahu abah, "cikgu ajok along gi lawatan ke Melake." As always, well this is abah saya, tak pernah kata takleh. tapi dia letak syarat berat, "gi tanye mok dulu." Huwaaaaa. tanya mak ertinya tak boleh. tapi, kata orang, di manakah adanya jalan kalau bukan pada kemahuan?" so, dgn muka cuak, saya 'ayat' mak. mula2 mak kata tak boleh. sapu bedak pun 'poreng' lagi ada hati nak gi lawatan. so, esoknya, saya sapu bedak dgn hemah tinggi dan penuh beradab. dan cuba pujuk lagi. still, dok boleh boh. saya nak pergi jugak sebenarnya. sebab bukan tak pernah pergi, tapi sebab pertama kali bukan pergi dgn mak abah. so rasa excited tu lebih sikit. mohon faham lah ye. 


so sebagai manager FM 2008 (football manager), saya buat taktikal baru. sampah tak penuh lagi dah gi buang dah. petang saya isi dgn 'gerrak sapoh' walaupun panggilan main bola disemboyankan budak rumah depan. "argh! kalau hendak ikan paus, manakan boleh diumpannya cacing?" hati saya memberontak menidakkan suara akal utk pergi bermain bola berkaki ayam di padang tanah merah. saya siap vacuum karpet lagi rasanya. ntah. dah lupa jugak. tp bila dibangkitkan persoalan yang sama, dgn tegas, mak menafikan hasrat saya jugak, walaupun sudah ditanya adakah anda pasti dgn jawapan anda.

malam tu saya merajuk. rasanya taknak pergi mengaji. taknak ikut abah gi masjid. dan taknak buat latihan buku Math yang abah beli. oh, taknak susun jadual sekolah esok satu lagi. rasanya abcek (abd rashid muhamad) yang tolong susunkan. saya mengurung diri di bawah kerusi rotan bukan sofa di ruang tamu. malam tu, mak datang dan bagitahu. mak dah call cikgu, dan siap bayar lagi rasanya. samaada dia bagi duit kat saya ber-stapler suruh bayar esok or dia dah bayarkan siap2, memori saya tak berapa nak catch up dah. "nanti mak kemaskan beg kat along." oh. sungguh sentap okay. saya tak rasa angah tahu sebab dia x mumayyiz lagi masa ni. ateh (husnaghazali) lagi lah sebab dia pakai cawat lagi. and the rest is history. sebelum naik bas, mak bagi duit rm 50. buat belanja katanya. padahal, makan/minum, penginapan semua dh termasuk dalam yuran lawatan, sentap kuasa dua lagi. so, saya balas dengan beli hadiah kat adik2. and beli makanan kt mak abah. and saya xbeli apa2 pun kat saya konon2 sebab saya dh diberi hadiah dengan bawak diri ke Melaka. dan itulah hadiah pertama saya, untuk adik2 saya. duit lebih saya siap bawak balik lagi. hahahaha. saya sungguh comel.

--------------------------------------------------------------------------------------

#abah dan mak yang along sayang.
berbanding adik2 lain. along adalah anak yg dinanti2 dgn penuh debar kan? along tahu, mesti mak abah cuak/takut bila nak sambut kelahiran along. first baby lh katakan ye dak? hahaha. along suka/syukur jadi anak sulung kepada mak abah taw, (walaupun along-lh yang pertama dipenjara di asrama, yang pertama kenal erti beli hadiah kt orang, yang pertama kena mengalah, dll) sebabnya. kita adalah orang yang paling banyak kenangan compared to angah, ateh, acik (najianghazali), alang, uda (anasghazali), kakak&abang (hafizah&hafizi), anjang (amalinghazali) dan adik (naqeebghazali).

#abah dan mak yang along rindu.
disebabkan banyaknya masa yang menjadi milik kita bersama, peluang utk along dapat dosa atas sebab kegagalan jadi anak soleh jugak makin banyak. compared to adik2 lain, mesti nisbah dosa berkadar terus dgn masa kan? jadi, atas sebab berikut, along amik kesempatan di sini, nak mintak maaf sungguh2, andaikata ada ucapan, karangan, ukiran, goresan di kereta, lukisan di dinding bilik, bakaran buku Muslimah drp edisi Jun1995, keratan pokok jambu, pecahan paip sepertimana di atas, dan seumpamanya yang memungkinkan terhalangnya belas kasihan Illahi terhadap usaha along meraih syurga Dia. macam dlm cerita alqamah tu. waaaaaa. taknak taknak taknak.

#abah dan mak yang along cinta.
cinta seorang guru Pasti dan pemuda PAS yang kerja kilang Plywood, 24 tahun dahulu, telah me'wujud'kan along adik beradik hari ini. cinta yang Allah perhati. cinta yang Allah atur. daripada moto Honda C70, kereta Nissan, van Vanette, sampailah ke proton Exora hari ini. semoga cinta kalian hari ini, sama syok macam cinta pada permulaan tempoh 24 tahun ini dan terus mekar dalam redha daripada hari ke hari. segala puji bagi Allah kerana menakdirkan along adik beradik terdiri daripada benih abah yang ditiup roh dalam rahim mak. kerana insyaAllah pasangan syurga ini, akan turut sama2 memastikan deretan anak2 mereka turut sama menghuni syurga nanti. amin Ya Allah.

irhamna, yaAllah.   
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...