insyaAllah. bersama kita berkongsi ilmu ;)

Wednesday, September 9, 2009

mengapa aku menulis~

Dengan asma’ Allah yang Rahman, aku mula menulis. Sangat terasa kejanggalan apabila jari mula memainkan peranan yang sudah ditinggalkan sekian lama; menari-nari atas pentas keyboard. InsyaAllah semoga ketangkasan jari ini masih lagi kekal rentaknya sewaktu zaman persekolahan dulu. Berdasarkan pengalaman lepas, aku berharap izzatghazali akan menjadi kesinambungan kpd [IronHill_Harakah], menjadi talian hayat kpd [tinta berbisa], bakal menjadi sambungan episod-episod [wadah.apresiasi] dan lain-lain. Niat hati yang dipendamkan sejak sekian lama, memiliki wadah penyampaian sendiri di alam tanpa batasan ini akhirnya dimakbulkan Allah, dengan kesempitan masa, meniti celah-celah ketandusan hidup sebagai seorang student, seorang daei sekaligus merangkap seorang hamba, tercapai jua niat untuk memulakan blog atas kapisiti sendiri. Tidak perlu lagi bergantung kepada yang lain untuk melepaskan apa saja yang terpendam di lubuk ini. Lantas, jutaan kesyukuran dipanjatkan atas peluang keemasan, atas gamitan hidayah yang akhirnya singgahnya di jiwa ini.

Tanpa sebarang penafian lagi, menulis banyak kebaikannya. Mengasah bakat, melahirkan perasaan, mengurangkan geram, juga menjadi sebahagian daripada keistimewaan menulis. Andai disoroti sejarah Islam, kebanyakan daripada saf-saf ulama’ Islam terdiri daripada mereka yang tega menguli bahasa, mengadun perasaan sekaligus menjadi pencetus semangat umat Islam secara keseluruhan. Betapa dahsyatnya penangan penulisan ini dibuktikan dengan lahirnya pepatah ‘tajamnya mata pedang itu tak terbanding dek tajamnya mata pena’. Karisma pimpinan bukan sahaja terserlah di sebaliknya akhlak dan keperibadiannya, tetapi juga tampak pada tulisan dan pengucapannya. Lihat sahaja teks-teks ucapan para pemimpin seantero dunia, Barrack Obama contohnya. Teks ucapan beliau buat pertama kali setelah diberi mandat menghuni White House dibukukan, dipasarkan secara meluas, malah diulangcetak berulang kali. Junjungan mulia Rasulullah saw membuktikan baginda sangat mementingkan aspek-aspek penulisan. Acapkali baginda menggunakan wadah surat untuk mengajak ketua sesebuah kerajaan memilih Islam sebagai jalan hidup sekaligus menolak fahaman-fahaman Taghut pada masa itu. Jelas, bakat menulis seharusnya tidak bisa dipandang enteng.

Lagi, kita digambarkan dengan kehebatan al-Quran dalam sasteranya, sehinggakan mustahil bagi seorang manusia meciptanya. Dalam ayat Allah ada disebutkan tentang cabaran terhadap golongan kuffar supaya mereka sebuah surah untuk menandingi keindahan bahasa al-Quran. Namun sama sekali mereka tidak mampu. Menulis jua aku simbolasikan sebagai wadah muhasabah terbaik. Kadangkala, sebagai seorang insan, kita kerap tersilap jalan, tersadung langkah dalam menyusun atur sebuah kehidupan. Menulis tentang diri sendiri cukup utk melihat siapa sebenarnya kita. Sejauhmana sudah kita menongkah arus lautan perjuangan ini, sedalam mana kita telah menyelami hakikat penciptaan ini. Menulislah untuk menyedarkan diri, menulislah untuk mengejutkan kuasa raksasa dalam diri, menulislah untuk membangkitkan tenaga dalaman yang terenap dalam sekujur tubuh itu.

Tuntasnya, biarpun kebanyakan mereka beranggapan memiliki blog sesuatu yang tidak perlu, membentuk jiwa menentang, medan menumpahkan tuduhan dan fitnah, medium menyebarkan fahaman-fahaman tersendiri, kalbu ini tetap utuh utk terus menceburkan diri dalam alam penuh tipu daya ini. Bila mana aku menjadi seorang anak, aku akan cuba untuk menjadi anak yg soleh. Bila mana aku menjadi abang, aku kepingin untuk menjadi abang yang baik. Bila mana aku menjadi seorang hamba, sedaya mungkin aku akan tidak melampui hakikat seorang yang diperintah. Dan, konklusinya, bila mana aku menjadi seorang blogger, insyaAllah, aku akan menggunakan wadah penyampaian ini secara total. Doakan aku tetap tega dalam naskhah perjuangan ini, semangat yang tidak pernah luntur, dan masa-masa terluang yang dimanfaatkan sepenuhnya. Aku dedikasikan kelahiran izzatghazali.blogspot ini untuk tatapan semua insan yang memerhati diriku, mengambil berat perihal hidupku, dan semestinya untuk mereka yang teristimewa dalam hidupku.

Wallahua’alam.

1 comment:

izzatghazali said...

terpaksa membangkitkan entry ini lagi bila mana budak 2 masih tak faham, apasal aku menulis..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...