insyaAllah. bersama kita berkongsi ilmu ;)

Wednesday, July 24, 2013

www.tudungnur.com : Ceritaku dan Tudung Bidang 60


Sebelum huruf-huruf ini bercerita ---


SUBHANALLAH, ALHAMDULILLAH, ALLAHUAKBAR.
Segala puja dan puji hanyalah selayaknya dikembalikan kepada Dia ; Pemilik Setiap Sesuatu.
Tanpa lupa, selawat dan salam ke atas junjungan mulia RASULULLAH S.A.W, yang sepatutnya menjadi hero sebenar di teratak hati kita semua.

***

Saya dibesarkan dalam keluarga yang sederhana, bersekolah di sekolah sederhana, hidup dalam kejiranan yang sederhana. Penekanan tentang bertudung labuh sungguh lemah, keistimewaan berhijab sempurna tidak diletakkan pada skala penting pada persekitan saya. Namun, hebatnya nukilan takdir Allah, menetapkan bumi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai tempat persinggahan saya dalam melengkapkan fasa sebuah kehidupan seorang hamba. 

Suatu waktu di masa lalu, masih segar di ingatan ini, semasa bebola mata tertangkap satu perkongsian bergambar pada sebuah poster program, tertera seuntai kata mengusik sekujur jasad saya ; Tudung bukan perhiasan untuk menjadi perhatian.” Serentak fikiran menjurus kepada ayat Quran, yang sebetulnya sudah diketahui sekian lama, namun penghayatan tidak meresap turun ke dalam dada.

“...hendaklah mereka melabuhkan tudung (selendang) mereka ke leher dan dada mereka...”
(Surah An-Nur: 31)

***

Setinggi pujian hanya milik Allah ; ALHAMDULILLAH ---

Bi’ah solehah di bumi Allah tempat saya menumpang teduh ini sedikit sebanyak membantu saya menjadi muslimah yang lebih baik. Dikelilingi oleh sahabat-sahabat bertudung sempurna menggamit perasaan malu dalam diri. Malu bukan kerana mereka begitu. Tapi malu kerana kita begini.   

Sedikit usaha untuk berubah. Kalau bukan kerana sedikit ini, masakan yang banyak akan datang bukan?

BISMILLAH. Dengan nama-Mu wahai Allah. ---

“Angah dah pakai tudung besar eh?” tanya teman sebilik. 

“Aircond kelas kita ni sejuk sangat ke angah?” soal classmate. 

Takut dgn simptom ‘hipokrit’, seraya senyum saya menjawab; “Hehe, baru nak belajar-belajar pakai je ni.”

----

Sungguh, dengan iman senipis kulit bawang, ketakutan akan gagal mendisiplinkan diri dalam memakai tudung besar bidang 60 ini sungguh menebal dalam diri. Mampukah hati ini istiqamah dengan langkah kecil ini? Mampukah gelojak penerimaan manusia diredhakan selemah iman dalam diri?

Sebelum membeli sendiri tudung besar bidang 60, meminjam tudung labuh seorang kawan menjadi kelaziman saya. Mulanya, tudung dipinjam kerana ‘matching’ dengan baju yang saya pakai. Hari ini pinjam tudung, esok pakai selendang balik. Lusa pinjam lagi. Sehinggalah, saya berasa selamat memakai tudung besar ini. Tenang dan tenteram. Dengan frasa lebih tepat ; terpelihara, sesuai dengan nama yang diberi abah untuk puteri tunggalnya, Iffah.

Mengapa terpelihara? Kerana bila tudung labuh ini disarung ke tubuh, akal datang lebih awal daripada emosi. Pujangga ‘berfikir sebelum bertindak’ lebih memberi makna. Takut, dengan imej bertudung labuh ini bakal memberikan persepsi buruk untuk sekalian pemakai yang lain. Malu, dengan tanggapan negatif terhadap penglibatan yang tidak perlu, berlebihan.
Tudung yang melabuh ini hadir sebagai pelindung, untuk menghindari maksiat. Tudung yang melabuh ini datang bersama pakej selamat tatkala muamalat tercetus, agar ikhtilat lebih terjaga.

Andai setiap batang pokok ditebang untuk dijadikan pena. Dan seluruh tujuh lautan sebagai dakwatnya. Nescaya ; itu tidak cukup dan tidak akan cukup. Untuk menulis setiap nikmat kurniaan Illahi. ALHAMDULILLAH ---

Fasa hidup baru, kini bergelar seorang zaujah buat seorang imam yang disayangi kerana Allah. Diijabkabul sewaktu masing-masing masih bergelar penuntut. Dan untuk mengisi masa lapang sekali gus mengukuhkan ekonomi rumahtangga, kami bekerja sewaktu cuti antara semester. Saya bergelar guru di sebuah tadika Islam untuk sekumpulan kanak-kanak comel dan suami tersayang bekerja di sebuah firma guaman.

Dan lagi, Allah memudahkan perjalanan saya berlari kepada redhaNya dengan menemukan saya kepada seorang insan. Sebelum kembali meneruskan pengajian di universiti, beliau yang turut mengajar di situ, menghadiahkan sehelai tudung bundar berwarna pink. Warna lembut yang memukau. Secara rasminya, tudung pertama milik saya sendiri. Beliau menghulurkan beg kertas itu bersama-sama seuntai kata yang kemas dalam lipatan hati saya ; biar suami bertambah sayang.

Pulang ke rumah, saya menyarungkan tudung bundar pink itu ke wajah saya. Bersama muka comel yang dibuat, saya tunjukkan kepada encik suami. Ya Allah, dia tersenyum bangga! Sungguh, senyuman yang menyenangkan. Bukankah indah memakai pakaian yang disukai ALLAH, dan membahagiakan suami? IN SHAA ALLAH, berganda-ganda pahala. Encik suami pernah cakap suatu ketika dahulu, menjadi impiannya melihat saya bertudung sebegitu. Dengan pemakaian tudung yang labuh, akhlak kita akan turut terjaga.  Apatah lagi, keperibadian seorang isteri adalah cerminan buat seorang suami.

IN SHAA ALLAH, melalui pemakaian yang dijaga, aurat ditutup sempurna, akhlak isteri terpelihara, keperibadian suami dipandang mulia, sama-sama beroleh pahala.




Suatu petang, sewaktu beriadah dengan kawan-kawan, kami disapa oleh seorang kawan yang baru sahaja pulang dari membeli kain bercorak bunga untuk dijadikan tudung. “SUBHANALLAH, cantik!” getus hati saya apabila melihat kain yang dibeli. Ingin tahu, saya bertanya di mana tudung itu boleh didapati. Beliau tanpa lokek, memperkenalkan saya laman sesawang tudungnur.com.

Esoknya, saya memberitahu encik suami, lokasi kedai i-Nur Muslim Fashion Gombak setelah mendapatkannya dari laman sesawang. Tanda menyokong hasrat isterinya bertudung sempurna, Encik Suami membawa saya ke kedai i-Nur Muslim Fashion Gombak buat pertama kali. Dengan lokasi yang strategik, saya tidak hairan kedai ini acapkali dipenuhi para pelanggan. Setelah meluangkan masa memilih, ALHAMDULILLAH, tudung kasturi berwarna oren dari kedai ini menjadi hadiah bermakna dari suami untuk saya.  

Tudung-tudung bundar yang dipamerkan di kedai ini memberi penampilan yang baik kepada saya. Kini, dengan bertudung pun boleh kita boleh bergaya. Yang penting, bergaya cara ISLAM. Tidak jarang-- Boleh dipakai untuk sembahyang-- Menutupi dada-- Tak berlebih-lebihan dalam bergaya.—

Moga-moga kehadiran ke kedai i-Nur Muslim Fashion Gombak  untuk mencari tudung yang DIA suka, menjadikan asbab Allah memberikan ‘Nur’ juga di wajah kita.

Buat semua yang telah,
Didoakan kita istiqamah menutup aurat dengan sempurna, wahai muslimah-muslimah yang disayangi kerana YANG MAHA PENYAYANG. Set niat, pakai tudung besar,labuh,bundar  sebab ALLAH. IN SHAA ALLAH, usaha yang sedikit mendapat tempat pada pandangan rahmat Allah. Selamat menjadi sebutir mutiara yang menjaga dirinya dalam tiram. Kerana dia tahu dirinya begitu berharga, jadi berusaha memelihara adalah tanggungjawabnya.

Buat semua yang akan,
Semoga coretan murahan ini mampu menggamit hidayah Allah datang bertandang. Agar disuburkan rasa untuk berubah. Berjuanglah sahabatku. Semoga RAMADHAN yang menjengah ini menjadi “turning point” untuk kita lebih mencari dan mencintai DIA dan seterusnya menjadikan kita seorang muslimah, yang bernilai solehah.



Semoga penulisan membuah redha. 
Wallahua’lam.  

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...