insyaAllah. bersama kita berkongsi ilmu ;)

Thursday, January 12, 2012

Dato' Dr Hassan Ali : buktikanlah!


Bismillah walhamdulillah.

Hassan Ali bukanlah satu figura yang kecil di Malaysia. andai diumpil sosok silamnya, Hassan Ali sangat sinonim dgn Program Summer Camp, Smart Learning dan pelbagai program motivasi yg lain anjuran AKRAB (Akademi Keluarga Bahagia) di bawah kelolaan beliau. Beliau yang pernah diangkat memegang jawatan tinggi kerajaan, sebagai Timbalan Ketua Pengarah Biro Tatanegara JPM suatu ketika dahulu, memilih untuk menganggotai PAS, dan seterusnya mendaki tangga kepimpinan sehingga pernah merasa jawatan Pesuruhjaya PAS Selangor.

Umum mengetahui berita pemecatan Hassan Ali daripada PAS, dan secara pukal menyifatkan PAS tidak wajar mengambil tindakan sedemikian lantaran pengaruh beliau yang bukan sahaja sedikit dalam kalangan pendokong gerakan PAS sendiri. Di saat Umno sedang bertarung bagi menafikan persepsi ramai yang menyifatkan politik perkauman tajaan mereka sudah tidak relevan, krisis pemecatan seumpama ini difahami ramai tidak menguntungkan PAS.

Dalam kita bergerak sebagai satu organisasi, matlamat organisasi haruslah menjadi keutamaan berbanding pencapaian sendiri. Pasukan bola sepak sendiri pun masih memerlukan disiplin yang tinggi, kepatuhan kepada manager, dan strategi yang baik dalam memburu kemenangan. Dan sekiranya setiap pemain diberikan peluang untuk mencerap corak tersendiri, persefahaman gagal dicapai seterusnya membawa kepada kekalahan pasukan.

Begitu juga dengan PAS, ada disiplin parti yang harus disempadani, juga wujud manhaj perjuangan yang perlu dituruti. Kekerapan beliau membuat kenyataan terbuka, yang mengkritik dasar parti membuatkan ahli bawahan PAS mula tidak senang duduk. Tuduhan 'tidak-bersetuju' dengan negara berkebajikan yang sudah disimen kemas pada pusaranya dibimbangi bakal menimbulkan polemik yang lebih besar seandainya tidak dibasmi lebih awal.

Strategi PAS dalam menggantikan Islamic State kepada Welfare State bukanlah satu bentuk penyelewengan PAS. Tuduhan PAS tidak istiqamah dalam memperjuangkan Islam adalah silap. Imbau kembali bagaimana ralatnya reaksi sahabat apabila perjanjian Hudaibiah dimaterai. Kalimah Bismillah, Rasulullah yang digugurkan, akta-akta yang dipersetujui baginda Rasulullah dilihat lebih menguntungkan pihak kuffar. Tapi, amati sendiri impak daripada toleransi Nabi, dalam PAS berusaha meneladani.

Sangat malang seandainya figura Hassan Ali tidak lagi membawa panji PAS, namun dalam mendepani zaman, PAS melihat, ini adalah jalan yang terbaik. Andai disingkap sirah para sahabat Rasulullah terdahulu, kita menyaksikan betapa Khalid al-Walid sendiri pernah dipecat daripada jawatannya. Mengapa? Bukan kerana kelemahan Khalid, bukan juga kerana kekurangan, namun disebabkan keperluan untuk meyakini Allah lebih daripada yakin kepada seorang Khalid al-Walid.

Cukup indah ungkapan Khalid, "sesungguhnya Allah-lah yang tahu setiap yang terbaik untukku. di kala aku menjadi pemimpin, mencari kemenangan adalah sasaran. namun tatkala aku dipecat, cita-cita syahid akan bersemarak." Justeru, walaupun Hassan Ali dipecat, mengklasifikasi beliau munafik, adalah silap, menelah futur dari perjuangan juga tidak tepat. Ingatlah para jundullah sekalian, jalan dakwah cukup luas, sedangkan PAS hanya-lah satu wasilah. Apapun, beliau masih diberikan peluang merayu, dan "Dato', masa untuk membuktikan kesetiaan Dato' kepada perjuangan telah tiba. Buktikanlah, betapa saya tidak silap meyakini keikhlasan Dato',"

Wallahua'lam.

izzat ghazali.
universiti islam antarabangsa malaysia.

1 comment:

Crew Fathi said...

Hrrmmm.. Entah la.. huhu.. Pening kepada gak kalau pikir pasal bab politik nieh.. huhuhu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...