insyaAllah. bersama kita berkongsi ilmu ;)

Sunday, January 23, 2011

bila kita terlupa pada tanggungjawab.


Bismillah walhamdulillah.

Dakwah merupakan tanggungjawab, yang bukan sahaja terbeban di pundak ahli gerakan Islam seluruh dunia, tetapi juga sepatutnya dipikul bersama oleh para penganut Islam yang lain. Ini jelas digambarkan oleh Allah swt di dalam al-Quran, "tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku" - az-Zariyat : 56.

Prof Dr Yusuf al-Qardawi menghuraikan dalam bukunya, al-Ibadah Fil-Islam, sesungguhnya proses pengabdian kepada Allah tidaklah terhad kepada solat, puasa, zakat dan haji, mahupun perkara-perkara yang berkaitan Islam seperti musabaqah al-Quran, maal Hijrah semata-mata sebagaimana pemahaman sesetengah golongan Islam (yang mendakwa mengamalkan Islam). Ramai yang beranggapan, apabila telah menunaikan fardhu tersebut, mereka telah menyempurnakan hak mereka terhadap Allah sepenuhnya. Kewajiban 'ubudiyyah kepada Allah sebenarnya merangkumi aspek yang lebih luas seperti ; 1)menyeru masyarakat kepada kema'rufan dan mencegah daripada kemungkaran 2) berjihad di jalan Allah.

Sebahagian besar daripada kita, meninggalkan apa yang diistilahkan sebagai da'wah. Dakwah adalah ajakan seorang Muslim kepada orang lain, baik sesama Muslim mahupun kepada bukan Muslim untuk menuruti perintah Allah dan menjauhi Firman Allah ; "Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Dialah yang mengetahui tentang siapa yang tersesat daripada jalanNya laranganNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." - an-Nahlu : 125.

Situasi di Malaysia hari ini, memperlihatkan umat Islam 'dilihat' meninggalkan golongan non-Muslim untuk sama-sama beriman kepada Allah. Sedarkah kita? Betapa tugas selaku khalifatul ard' jelas termaktub supaya mengajak sahabat2, cucu cicit Adam dan Hawa supaya memperakui Allah selaku satu-satunya Tuhan yang layak disembah? Akan tertahankah tegak kaki kita seandainya dipersoalkan di mahkamah Allah kelak? Ini amat rumit sementelah sikap kita selaku Muslim yang tidak menjadi qudwah yang baik itu sendiri. Tambahan pula, beban amanah ini lebih dirumitkan lagi apabila pihak yang berkuasa tidak meletakkan perhatian yang secukupnya kepada golongan bukan Muslim.

Sebagai pemimpin yang mengaku Islam, sepatutnya anda berasa bertanggungjawab untuk menyebarluaskan pemahaman Islam kepada masyarakat di bawahnya. Tidak cukup baikkah Islam untuk didokongi? Tidak cukup indahkah Islam untuk diketengahkan? Tindakan mengelirukan ajaran Islam kepada masyarakat bukan Islam amatlah menghairankan. Kalau bukan kita, sebagai orang Islam, untuk memberi kefahaman kepada mereka (bukan Islam), siapa lagi?

Tergamakkah kita, selaku pemimpin Islam memperlekehkan kaedah perhakiman Islam di hadapan orang-orang bukan Islam? Perbuatan menakut-nakutkan mereka seumpama itu dikhuatiri menjauhkan minat sekaligus menggagalkan misi dakwah kita. Walaupun benar hidayah milik Allah, tetapi pilihan untuk berusaha masih di genggaman kita. Bukan sekadar usaha biasa-biasa, tapi usaha bersungguh-sungguh.

Mengemudi bahtera dakwah ternyata tidak mudah. Ada ketikanya arusnya berpusar, diterpa ribut, disesah badai. Namun, percayalah orang Islam sekalian. Ia seumpama gerhana yang sementara cuma.

Izzat Ghazali.
Lawsoc IIUM.

1 comment:

zulkarnain said...

Menarik...InsyaAllah bleh jmput Ust. E utk 'Slot Khas' semase XPDC Sek2 Kite lps cuti nih....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...