Berhadapan dengan deretan peperiksaan yang tersusun tidak menghalang aku untuk menyediakan serelung waktu untuk menonton 2012, yang merupakan nukilan terbaru pengarah yang turut sama menggarap Independence Day dan The Day After Tomorrow. Menggunakan tagline ‘we were warned’, pengarah terus mengekalkan tradisi melahirkan filem-filem yang memaparkan kehancuran alam, runtuhan bangunan, percikan api, dentuman bunyi sebagai wasilah penyeri dalam karya terbarunya.
Ada apa dengan 2012? Berpaksikan kepada bacaan-bacaan, perkongsian dengan sahabat seperjuangan, terdapat teori yang mengangkat angka 21 Nov 2012 yang jatuh pada hari Jumaat, sebagai tarikh di mana segenap bumi akan hancur, yang turut memberi erti kepada setiap yang berpegang kepada kalimah tauhid , Lailahaillallah, kedatangan yaumul Qiyamah. Benarkah teori ini? Sejauhmana kebenarannya terbukti? Secara jelas, Allah langsung tidak memberi satu tarikh yang tepat, bila Qiyamah akan menjengah bertandang kepada kita. Sekadar memberikan peringatan bahawa ‘The Final Judgement’ itu bakal hadir dan masanya tidak ditentukan. Apa yang kita ketahui, Qiyamah akan terjadi pada hari Jumaat sebagai penghulu hari.
Bijaksananya Allah, dengan menjaga kerahsiaan Qiyamah, setiap yang beriman pasti gusar berbuat zalim, lantaran tidak tahu bila hari Perhitungan akan hadir. Andai kata, diketahui lusa akan berlaku Qiyamah, hari ini pastinya kita berbuat maksiat sewenang-wenangnya, dan esok kita akan melagukan rintihan taubah sesungguh hati. Akan tetapi, buat mereka yang berfikir, Allah perjelaskan tanda-tanda Qiyamah akan hadir, baik besar mahupun kecil.
Apa dalam 2012? Tidak dinafikan yang terdapat kemungkinan filem 2012 ini juga termasuk dalam tanzim perancangan agenda-agenda tersusun Yahudi laknatullah. Sepertimana peristiwa runtuhan WTC, pembunuhan Princess Diana, penularan wabak H1N1, kematian Michael Jackson, 2012 juga menjadi penerus rantaian usaha mereka memerangkap umat Islam, sekaligus memerangi kita. 2012 merangsang otak kita mengiakan kiamat akan tiba dalam masa 3 tahun lagi. Kendatipun tidak secara total, akal kurniaan Illahi ini pastinya tidak menolak hujah-hujah kukuh yang ditonjolkan dalam cerita ini.
Usia bumi yang sudah terlalu tua, hikayat bintang-bintang yang akan berakhir dengan letupan,magma yang tidak normal dalam bumi, perjalanan cakerawala yang tidak tersusun, cukup bugar untuk menorosok menerobos ke dalam akal, sekaligus mengiakan yang kehancuran alam akan tercetus. Benar, pengakhiran itu akan tiba, tapi caranya hanya Allah yang tahu. Biarlah rahsia. Atas apa-apa sebab sekalipun Allah berhak menghancurkan alam ini lantaran hakNya sebagai pencipta. Takkan terbayang dek keterbatasan akal manusia, dan mungkin beribu kali ganda lebih dahsyat dan menakutkan daripada adegan bayangan dalam 2012.Allah menceritakan dalam al-Waqiah ayat 4,5 dan 6 ; kiamat itu terjadi apabila bumi digoncangkan sekuat-kuatnya, gunung-gunung dihancurkan sehingga menjadi debu berterbangan. Sekaligus dalam surah yang sama ayat 81, Allah menempelak golongan-golongan yang mendustakan peringatanNya ; apakah kamu meremehkan berita ini? Dan andaikanlah, segenap alam maya ini hancur sepertimana yang diprovok 2012, helah sebagai penyelesaian tetap ada. Bila dikatakan kiamat akan berlaku disebabkan perlanggaran antara planet, hantar sahaja team penggerudi seperti dalam Armageddon. Andai dikatakan bah besar akan melanda, bina sahaja negara manusia atas bahtera yang terbentang. Cukuplah kita beriqtiqad yang Qiyamah akan datang kerana ia sudah sebuah ketentuan, dan apapun sebabnya, Allah Maha Mengetahui.
Qiyamah versi rekaan manusia dalam 2012 ini memberi peluang setiap insan lari daripada kedahsyatannya. Mencari tempat berlindung di kala saat paling menakutkan tiba adalah tema bagi 2012, dan akhirnya, mereka berjaya mengatasi bencana alam itu.Padahal, hakikatnya, tidak ada satu benteng pun yang berupaya menggugah betapa dahsyatnya Qiyamah. Ingatan Allah dalam al-Qiyamah ayat 10, 11 dan 12 jelas menjawab persoalan ini ; pada hari itu manusia bertanya kemana lagi harus mereka melarikan diri, Allah menjawab ; tidak, tidak ada lagi tempat berlindung, hanya kepada TuhanMu kamu akan dikembalikan.
Daripada aliran pemikiran bertentangan, 2012 mengajak kita meningkatkan amal ibadah, di samping bertaubat atas koleksi dosa-dosa yang terhimpun sebagai persiapan menghadapi qiyamah. Biarpun ia bukan pada tahun 2012, mungkin sahaja ia berlaku Jumaat ini, ataupun Jumaat depan, siapa lagi yang mengetahui hakikatnya melainkan Allah Azzawajalla? 2012 turut menggambarkan kepada kita ketakutan menghadapi suasana kacau bilau Qiyamah. Saat huru-hara begitu, seorang ibu pun sanggup meninggalkan anaknya. Walaupun 2012 hanya rekaan, dan tidak lebih dari imiginasi seorang manusia, tarbiahlah diri kita meyakini bahawa Allah Maha Berkuasa. Kekuasaan Allah tidak bersyarat, tiada tertakluk.
Moral yang dapat kita garap daripada 2012, kita sewajarnya menginsafi tanggungjawab sebagai pimpinan sebagaimana watak Presiden Amerika dalam 2012. Kesanggupan untuk berkorban demi rakyat jelata, bersusah payah bersama masyarakat menghadapi saat-saat yang sepatutnya beliau tidak perlu hadapi, dan menyuarakan sebuah kebenaran demi mengenepikan sebuah kebatilan wajar dijadikan pedoman. Begitu juga watak Shasha, pilot yang sebenarnya berkesempatan untuk terus hidup tetapi memilih untuk berkorban demi penghidupan orang lain.
Sebagai konklusi, marilah kita bertadabbur dengan kalamullah dalam surah Al-Qariah 1-11 ; Hari Qiyamat, apakah hari Qiyamat itu?, dan tahukah kamu apa itu Hari Qiyamah?, pada hari itu manusia seperti serangga yang berterbangan, dan gunung-ganang seperti bulu yang dihamburkan, maka adapun orang yang berat timbangan baiknya, maka dia berada dalam kesenangan, dan bagi mereka yang ringan timbangan kebaikannya, maka tempat kembalinya adalah neraka Hawiyah, dan tahukah kamu apakah neraka hawiyah itu?, ia adalah api yang sangat panas.
Wallahua’lam.
[hikmah daripada laptop rosak, kena hantar g Lowyat, n sempat tgok movie ni]
No comments:
Post a Comment