insyaAllah. bersama kita berkongsi ilmu ;)

Saturday, December 5, 2009

Lensa Rasa


Sedar atau tidak, perlumbaan cuti ini sudah hampir melintasi garisan penamatnya. Sorak sorai UIA semakin kedengaran menggalakkan aku kian melebarkan langkah waktu. Namun langkah waktu ini kuharap semakin mengecil. Biarkan aku menikmati segalanya sendiri sebelum wisel muktamad dibunyikan. Tapi waktu itu memang begitu. Takkan dipercepat, tak juga diperlambat. Bersedia atau tidak, ia pasti. Percutian yang panjang pada mulanya menjadi sangat singkat, dan tidak sampai beberapa sela lagi, Tasik Kenyir Ekspres akan membawa jasadku pergi. Meninggalkan hati ku bersendiri bersama adik-adik di rumah. Bila lagi jasad ini kan kembali menziarahi hati yang ditnggalkan? Masihkah aku diberi ruang dan peluang untuk menitipkan coretan hidup ini bersama insan-insan yang ku sayang untuk sela masa yang akan datang?


Cuti bermula dengan sesi pengembaraan ke belahan semenanjung utara, ke rumah Encik Daniel, Encik Arm dan Encik Raafiq. Segalanya aku coretkan dalam ‘Musafir Pengukuh Taaruf’ yang masih tergendala lantaran beberapa kesilapan teknikal. InsyaAllah akan di’posting’ nanti. Pulang ke rumah, alam percutian dihiasi dengan riang ria banjir di sana sini. Irama hujan yang memainkan nota muzik tidak berhabisan mengisi corong telinga ku, menggegarkan gegendang ku, dan seterusnya diterjemah dengan penambahan berat secara seragam di kedua belah kelopak mata.


Dan aku juga berkesempatan, untuk turun padang menganalisa sendiri kemampuan stesen TV bagi men’transform’ minda manusia. Produk kajian ku terdiri daripada kepelbagaian rangkaian rancangan TV9-Dekat Di Hati seperti Wonderpet, Upin Ipin dan Kawan-Kawan, Go Diego Go dan Dora The Explorer. Sedikit sebanyak proses percambahan minda kanak-kanak dapat dilaksanakan. Teringat sewaktu aku masih lagi manusia kecil dulu, tidak ada siaran seperti ini di ke’udara’kan. Sebaliknya Jula-Juli musim sekolah sudah dikhaskan masanya, termaktub dalam jadual harian,dan mesti dipatuhi. Cerita dongeng Inggeris seperti Rapunzel, Beauty and The Beast, dan Cindarella memenuhi carta alir benakku pada waktu itu. Dan benarlah, zaman sudah jauh berubah. Terima kasih kepada responden, Cik Iffah kerana sudi memberikan kerjasama dengan menjawab soalan Go Diego Go.


Tidak dilupakan program membuat ampaian kain dalam rumah anjuran Pihak Kerajaan Rumahtangga. Dalam sesi ice-breaking kami, kami ditinggalkan oleh organizing committee dengan satu misi, membina ampaian dengan tali RM2 yang disediakan barisan penganjur. Alhamdulillah, berkat kesungguhan kami dan keberkesanan strategi yang direncanakan, aku berjaya mengemudi pasukanku untuk merangkul juara keseluruhan program tersebut. Walaupun letih,tapi kami tetap gembira dan berharap dapat mengikuti program ini lagi pada masa-masa yang akan datang. (skema BM Penulisan darjah4)


Bijaksananya Allah merencanakan takdirnya, pagi Aidiladha, hujan tidak turun membasahi bumi. Jelas memberikan ruang kepada hambaNya mempersembahkan korban-korban mereka kehadratNya. Juga memberikan peluang kepada segenap pengorban memerhatikan setiap titis darah yang menitik ke bumi simbolik kepada pengampunan dosa. Alhamdulillah, skill melapah tahun lepas dapat di’improve’ lagi tahun sekaligus mempertajamkan teknik-teknik me’ninggaltulang’kan seekor lembu. Semoga aroma bau daging yang melekat di jari, titispeluh yang membasahkan baju, bateri kamera yang luak, jeans yang terkena darah diterima dan dinilai oleh Allah jua. Itu sahaja yang termampu aku lakukan di kala ini.


Lawatan ke Mesra Mall juga menjadi sebahagian daripada plan cuti sekolah kali ini. Seusai menyambut Aidiladha di kampung bonda terchenta, driver bertukar tangan. Mak digerakkan hati untuk drive sendiri. Alhamdulillah, boleh gak aku membawa minda menerawang jauh dalam perjalanan nanti. Hujan sekejap-sekejap langsung tidak dapat menghalang urusan jual beli kami sekeluarga, bahkan seakan-akan menyokong tindakan kami me’labur’ di bursa TMC itu. Apalah yang dikirakan sangat, peluang untuk kami sekeluarga berkumpul penuh dalam setahun sangat singkat.Apa tidaknya 5 daripada 9 beradik kami sudah mengorak hidup sendiri meninggalkan pasangan pengantin mak dengan abah kat rumah dengan anak sulung yang berusia 10 tahun.


Kehidupan di rumah sangat mencabar. Nasib baiklah di rumah, mak baru sahaja merekrut 3 orang gaji baru.Bolehlah juga aku merasa nikmatnya menjadi seorang putera raja. Nak makan panggil along taw~ Aku dengan kegilaanku masih lagi tidak berubah. Tautan Hati, Tunas dan juga Rooftop Rant selamat dikhatamkan. Dalam pada itu, Kelantan Sesejuk Wajah TuanGuru dan Dasar-Dasar Ilmu Dakwah juga selamat dijadikan bedtime stories di malam-malam yang kelopak mata atas merajuk dengan kelopak mata bawah. Mungkin ada pergeseran dalaman antara mereka berdua.


Sebagai klimaks percutian, uda selamat di’jadikan budak besar’ dengan Encik Razak, yang mana berpengalaman dalam arena per’khatan’an semenjak aku kecil lagi. Aku juga selamat di’boleh kahwin’kan dengan beliau. Dapatlah juga aku mengalami keperitan hidup di zaman raja Uda memerintah. Teringat di zaman aku dulu, pelbagai cerita seram direka, di’ulangtayang’ di telinga, digambar di mata. Bagaikan sebuah keraian menyambut majlis berkhatan anak sulung keluarga. Tetamu yang bertandang saban hari. Sedikit sebanyak perasaan ke’hilang’an agak terubat dengan duit saguhati untuk beli Alam Perwira itu dihulur.


Terbukti sudah! Dan kiamat itu akan datang pabila waktu itu berlalu dengan pantas meninggalkan kita. Seakan-akan baru sebentar tadi meeting MRC Bilal berakhir dengan resolusi setiap blok akan dihuni dengan 2orang MRC. Dan baru juga sebentar tadi, aku mendengar suara Yus, Rafiq dan Cham yang bersetuju mendiami bilik baru kami. Letih lelah LCSC masih membusung di dada. Terasa seperti baru tadi Daniel datang di tengah pagi mengambilku di Tol Gombak. Masih merasa letih bermain futsal di laman court Bilal. Juga, masih terasa hiba meninggalkan teman seperjuangan untuk cuti yang panjang dengan persoalan, masihkah kita punya kesempatan bersua lagi?


Dan sehinggalah saat artikel ini ditulis. Betapa cepat masa itu meninggalkan aku. Yang masih terus terpinga-pinga memikirkan apa seterusnya selepas ini? Kolam empangan air mataku agak bekocak mengenang betapa aku sudah melewati 20 tahun penghidupan. Apalah yang terdaya aku jawab bila disoal ke mana masa muda ku dihabiskan dihadapan ALLAH nanti? Cukup lengkapkah koleksi bekalan aku untuk meniti kehidupan selepas mati ini? Dapatkah amalan yang sedikit ini mengimbangi beban dosa yang ku lakukan? Seandainya, inilah posting terakhir yang sempat aku titipkan, cukupkah ia untuk membawa kalian berfikir sejenak tentang Allah? Sekaligus, menyempurnakan dakwah fard’iah yang wajib atas setiap kita agar tidak dipalit kerugian?


Sebagai konklusi konkrit dari penceritaan bebas pada kali ini, dapatlah aku simpulkan, dalam kita bergelak ketawa, jangan kita lupa menangis hiba, dalam kita mendabik dada, jangan dilupa Dialah pencipta, dalam kita rendah menunduk,usah dilupakan tujuan hidup, dan ingatlah, atas setiap perbuatan kita, kita akan dipertanggungjawab hatta ia sebesar zarah baik yang baik mahupun yang buruk. Imam alGhazali dalam Minhajul Abidin ada menyebut ; dunia ini terdiri daripada 3 hari, hari semalam sebagai sebuah kenangan atau penyelasan, esok sebagai harapan dan impian, dan hari ini sebagai waktu untuk mengambil ruang dan peluang.

~Wahai Allah swt, ketahuilah, hati-hati ini amat mengharapkan belas kasihanMu, merindu hidayahMu sebagai pedoman di perjalanan. Duhai Allah, pimpinlah hati-hati kami agar ketemu redhaMu di penghujungnya~ amin~

2 comments:

armouris said...

info tentang berkhatan kat sini - Kelebihan Berkhatan

izzatghazali said...

haha~ bagos btol r armouris nih~ thankx ea~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...