insyaAllah. bersama kita berkongsi ilmu ;)

Saturday, December 5, 2009

Masih Bernyawakah Hati?

Matahari kebelakangan ini segan untuk menampakkan diri. Mungkin masih bersisa malu kepada tangisan langit yang acapkali mendominasi situasi alam. Burung berkicauan murung. Barangkali menzahirkan kesejukan yang mendiami segenap pelosok tubuh mulusnya. Dan seorang manusia itu masih lagi leka. Terbuai dek lautan masa yang tidak menampakkan tepiannya lagi. Mungkin jasad itu tidak mengerti. Betapa di singkapan rintik hujan yang berterusan itu, jutaan jasad lain sedang leka meneruskan agenda-agenda mereka dek kerana hujan bukanlah sebuah halangan sebenarnya. Dan sebentuk hati itu masih lagi sepi. Sudah lama tidak diisi dengan makanan ilmu agaknya. Kegersangan yang berpanjangan. Dan dia masih setia menyalahkan tangisan langit lantaran kesejukan menjadi penyebab akal pinjaman itu menjadi beku.


Hati adalah organ penting tubuh manusia. Bukan sekadar sebuah stor penyimpanan asid amino, hati memainkan peranan sebagai teratak kepada iman dalam jiwa seorang insan. Berbeza dengan jasad yang tampak dek kerlingan mata, hati lebih berahsia. Misteri hati takkan disingkap dek tuturan kata. Jasad hidup dan jasad mati sangat berbeda. Besar perbezaannya.Jasad adalah relatif maknawi dalam hidup manusia. Namun hati, tidak. Hati bukan sahajanya realitinya terbalut dek tubuh, bahkan teratak kediaman ini amat sukar dimengerti. Bagaimana agaknya meneliti kelainan antara hati yang hidup dan hati yang mati?

Bersyukurlah seandainya terdetik kekesalan tatkala melakukan maksiat. Bersyukurlah pabila masih lahir serelung kebimbangan bila saja godaan syaitan bertandang. Bersyukurlah jika ketakutan wujud sejurus selepas berbuat dosa. Itulah tanda hatimu masih hidup. Dan di antara mereka yang sudah kematian hati, segenap perbuatan mereka lansung tidak lekat dek tapisan hisab. Fikiran tidak lagi dapat mencerna mana satu yang baik pahala, mana pula yang buruk dosa. Sisi mana yang terang benderang, sisi mana yang gelap gelita.

Imam Ghazali ada berwasiat, andaikanlah hati itu hilang, carilah ia di 3 keadaan ; ketika sedang membaca al-Quran, tatkala sedang mendirikan solat dan semasa duduk bertafakur mengenang jemputan kematian. Dan seandainya ia kekal tidak dijumpai. Mohonlah dari Allah sebentuk hati yang baru karena kamu sudah tidak lagi memiliki hati.

Proses membina hati memerlukan waktu yang tidak sedikit. Perjalanannya panjang dan pengorbanannya besar. Realitinya, hati yang dibiarkan akan pergi sendiri. Oleh itu, selalulah berdamping dengan hati. Ketahuilah setiap hak dan tuntutannya. Fasihilah dengan lumrah hati, bagaimana menjaga dan seterusnya memeliharanya. Dan ingatlah sabda Rasulullah yang antara lainnya bermafhum ; Dalam jasad manusia, terdapat satu daging, yang mana andai daging itu baik, baiklah seluruh tubuhnya dan jika daging itu jahat, jahatlah seluruh jasadnya. Dan ketahuilah, daging itu adalah HATI.

~Wahai Allah, lihatlah aku. Betapa aku tidak menghiraukan Engkau, di kala aku menyakini kewujudan Engkau. Biarkanlah hidayahMu ini setia bermukim di teratak hatiku~

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...