insyaAllah. bersama kita berkongsi ilmu ;)

Sunday, December 13, 2009

Saya pekerja, dia pekerja, kami pekerja, kita pekerja.


Subhanallah, walhamdulillah, Allahuakbar..

Kalendar di dinding menunjukkan hari kelima kehidupan 2nd year bermula. Nampak persis sistem metabolism badan masih lagi tidak pulih sepenuhnya. Kondisi diri yang masih rindukan pembaringan di kala bahang matahari memanas di muka, nyanyian esofagus yang rindukan makanan selepas baru sejam makan, bebola mata yang masih tidak menunjukkan sindrom mengantuk walaupun masa sahur dah menjengah. Semuanya menjadi saksi, betapa segenap hati, fikiran dan jiwa aku, masih lagi tertinggal di rumah. Mintak-mintak abah dan mak boleh tolong poskan nanti untuk along kat sini.

Menulis dengan nuansa sedih kali ini menyukarkan perahan idea untuk baris ayat seterusnya sebenarnya. Gangguan emosi yang kerap kali menjentik mindaku sedikit sebanyak membantutkan usaha ku memanggil roh ku balik ke jasad. Soal rezeki, takdir, ujian kerap bermukim di dada? Pada siapa harusku hempaskan semua ini? Idea bercakap di cermin produk motivator sekolah sains dulu agak membantu, sekurangnya memerhatikan yang aku masih punya suara untuk mengadu kepada telingaku soal hati yang masih bisa bicara.
Aku pekerja. Dan aku adalah pekerja sepenuh masa. Sebagai pekerja, aku amat mengharapkan gaji daripada Tuanku, kini masih belum dapat ku rasai. Wajarkah aku meletakkan jawatan seterusnya memikirkan kemungkinan bekerja dengan Tuan lain? Apakah selama ini, Tuan aku itu langsung tidak memberiku gaji? Ataupun aku yang memandai memohon gaji besar sedangkan hanya bekerja sebagai cleaner. Dan tentu sekali berbeza dengan dia selaku officer. Tuan aku tidak salah apabila menetapkan gajiku tidak masuk untuk bulan in mungkin. Dan wajarkah aku mempersoalkan wang simpanan dia yang lebih banyak daripada aku, sedangkan itu mungkin sahaja wang pemberian ibu bapanya, ataupun hasil penglibatan dia dalam MLM saban hari.

Dan mungkin sekali aku terlupa, elaun perumahan, wang ansuran kenderaan, elaun kesihatan semuanya nikmat daripada Tuanku yang seorang ini. Mungkin sahaja Tuan aku terus meng‘cash in’kan gaji aku ke akaun aku sekaligus menyaksikan wang aku dikumpulkan tanpa aku ketahui sebelum dihujankan kepada ku? Layakkah cleaner ini bising berpiket dengan kadar produktiviti yang langsung tidak membantu perkembangan syarikat? Wajarkah cleaner ini bangkit berdemo sekadar menuntut hak yang sama dengan pekerja yang berbeza kedudukan dengannya? Tuan aku lebih tahu, dan aku mesti menutup mulut celupar ini. Ada pekerja yang tidak bekerja, tapi Tuan aku masih lagi memberikan gaji besar kepada mereka. Tentu sekali sahabat sepekerjaan aku lupa yang Tuan kita punya CCTV berjuta. Dan tiap detiknya hanya memerhatikan kita. Lumrah seorang Tuan kan? Meninjau pekerja dari segenap sudut, memberikan gaji, membuang mereka yang tidak perlu, menerima pekerja baru dan lain-lain rutin yang sama sekali berbeda dengan pekerja seperti aku.

Jauh dari sudut hati, aku sangat risau. Masakan tidak, Tuanku memberi 15,000 kepada ku selaku cleaner. Itu bukan sekadar rezeki bagiku bahkan ujian sejauhmana akan ku nifaqkan duit itu untuk menjayakan wawasan syarikat. Tuan ku mungkin memerhati aku yang selama ini apakah aku akan berubah bangkit dari masa-masa yang dibuang ketika bekerja setelah diberi gaji besar itu? Tuan menilai aku dari itu. Dan bila sahaja aku tidak mempergunakan helaian kertas bernilai ringgit itu sebaiknya. Mungkin gaji selepas ini akan menyusut jauh, atau lebih teruk aku akan dibuang kerja.
Tuan aku tahu apa yang terbaik untuk ku sebenarnya. Dan, aku kan terus bekerja untuk Nya sekaligus mengingatkan temanku agar tidak terleka lantaran segalanya adalah ketentuan Tuan kita. Ia bukan sahaja rezeki, sebaliknya ujian untuk melihat perubahan kita. Sejauhmana kita bersedia untuk berubah itu soalnya. Kalau bukan sekarang, bila lagi? Persetankan orang lain sebab kan kita ada Tuan? Aku pekerja, dia pekerja, kami pekerja, kita pekerja.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...