insyaAllah. bersama kita berkongsi ilmu ;)

Thursday, June 24, 2010

akan jadi nostalgia??

Bismillah walhamdulillah.

Debaran menikmati UPSR suatu ketika dahulu, bakal menjadi sebuah memori. Doa sang ibu dikirim untuk si anak di dalam dewan peperiksaan, bakal menjadi nostalgia. Sang ayah juga tidak perlu mengambil cuti bagi meraikan si anak menempuhi peperiksaan pertamanya. Gamat suasana di alam persekolahan rendah tatkala keputusan UPSR diumumkan mungkinkah akan ternokhtah dengan hasrat kerajaan memansuhkan peperiksaan awam ini??

Ujian Penilaian Sekolah Rendah ini merupakan platform pertama anak-anak untuk melonjak ke tempat yang lebih baik. Dengan bilangan tempat yang diperuntukkan di Sekolah Berasrama Penuh di seluruh Negara jauh lebih kecil andai dibandingkan dengan pelajar darjah6 seluruh Negara, calon-calon UPSR mestinya sedar dengan keperluan untuk melakukan ‘henjutan pemisah’ berbanding mereka yang lain. Dan di sinilah UPSR diperlukan, untuk menjadi medium pembezaan.

Saya sendiri merupakan produk UPSR sebelum menjejakkan kaki ke SBP. Justeru, saya melihat peri pentingnya UPSR tidaklah sampai menafikan nikmat keseronokan di sekolah rendah seperti yang diutarakan oleh ‘beliau’ di sini. Idea mewujudkan peperiksaan KHAS untuk kemasukan ke SBP sangatlah tidak jelas. Dikhabarkan, ia ditawarkan untuk siapa yang berminat sahaja. Ibu bapa mana yang tidak kepingin melihat anak menuntut di SBP? Jika formatnya sama seperti UPSR, mengapa tidak dikekalkan UPSR sahaja?? Adakah penjenamaan semula peperiksaan ini mampu mencetuskan momentum pendidikan baru??

Bukan UPSR sahaja yang bakal di’antik’kan, malah PMR juga. Penilaian Menengah Rendah ini akan menjadi wasilah pemilihan untuk pelajar2 yang berminat mengikuti aliran teknik dan vokasional, malah juga untuk SBP yang menawarkan kemasukan menengah atas. Alangkah hibanya, mereka yang tidak mendapat keputusan yang baik sewaktu UPSR dulu, tidak diberikan peluang kedua untuk turut sama mendiami institusi keilmuan yang lebih baik.

Salah seorang guru saya berpendapat bahawa, dengan pemansuhan peperiksaan awam PMR ini, para pelajar sekolah menengah ini dikhuatiri akan hilang focus lantaran jurang peperiksaan yang terlalu jauh. Sistem orientasi peperiksaan yang diterapkan kerajaan semenjak awal lagi mula menampakkan kesan kepada student, ‘belajar untuk peperiksaan’. Sistem pentaksiran berasaskan sekolah akan diperkenalkan sebagai ganti peperiksaan awam di Malaysia. Sehingga hari ini, system pentaksiran ini masih belum diperjelaskan dengan teliti. Sama-samalah kita menanti akan seperti manakah generasi muda kita hendak dinilai nanti.

Puncak kerungsingan saya bertitik tolak daripada ucapan Menteri Pelajaran sendiri, menurutnya, langkah mengurangkan peperiksaan awam ini dijangka mampu untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam aspek pengurusan, penggunaan sumber manusia, dan mengurangkan beban tugas guru untuk mengendalikan proses peperiksaan. (Utusan Malaysia) Inikah niat sebenar kerajaan di sebalik semua ini? Menggadai generasi muda demi mengizinkan pembaziran kerajaan? Bukankah demi mengubah takdiran Malaysia bankrap 2019, lebih baik kiranya projek-projek mega ditangguhkan (parlimen&istana), pengurusan sumber ekonomi diteliti sebaiknya, ketirisan wang disekat dan lain-lain.

Saya waras dalam hal ini, tulisan saya bukanlah mampu menggegar Malaysia, seandainya, Kementerian Pelajaran tetap berkeras untuk memansuhkan UPSR PMR, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada anda. Mungkin system pendidikan di Malaysia mahu ditransformasikan seperti di Brunei. Tapi, andai ini keputusan yang silap, nantikanlah saya seperti PPSMI dahulu. Saya menyarankan agar idea ini diperhalusi sebaik mungkin kerana, di tangan kalian lah terkalungnya masa depan generasi akan datang.

May Allah bless. Wallahua’lam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...